Tumpuan :
Nasional

Genap 2 tahun pimpin Kerajaan MADANI, PM Anwar fokus teruskan agenda negara – Fahmi

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.- Foto fail 

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang genap dua tahun menerajui kerajaan pada 24 November ini meneruskan agenda negara dengan mengadakan lawatan kerja ke Korea Selatan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, lawatan itu penting bagi memastikan kerjasama strategik antara kedua-dua negara dapat terus diperkukuhkan.

“Pada 24 November Perdana Menteri akan ke Korea Selatan bagi lawatan rasmi untuk tujuan perdagangan dua hala serta mengadakan beberapa pertukaran memorandum persefahaman (MoU),” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.

Fahmi berkata selain memperkukuh hubungan perdagangan antara Malaysia dan Korea Selatan, Perdana Menteri akan turut menyaksikan pemeteraian beberapa MoU melibatkan kementerian serta agensi termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Sementara itu, beliau berkata sempena dua tahun pemerintahan kerajaan MADANI, Program 2 Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 bakal dianjurkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 22 hingga 24 November ini.

Fahmi berkata Anwar dijangka menyempurnakan program anjuran Pejabat Perdana Menteri menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) pada 11 pagi, 23 November.

Mengulas mengenai lawatan kerja rasmi Perdana Menteri ke Peru dan Brazil baru-baru ini, beliau menyifatkannya sebagai lawatan yang sangat signifikan.

“Di Peru, Perdana Menteri turut menerima penghormatan tertinggi daripada kerajaan Peru iaitu ‘”Order of the Sun of Peru” atau “El Sol del Peru”. Lawatan ini juga membuka peluang besar untuk perdagangan produk halal di Amerika Selatan,” katanya.

Fahmi berkata pengumuman kerjasama Malaysia dengan Brazil untuk menangani isu keterjaminan makanan juga dijangka membuka ruang kepada syarikat tempatan untuk terlibat dalam sektor strategik tersebut.

“Namun, kita akan menunggu maklumat lanjut selepas laporan lawatan ini dibentangkan kepada Kabinet pada Jumaat ini,” katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini