Oleh: Juliana Sharin
PETALING JAYA: Latihan kecemasan yang dibuat oleh pihak universiti nyata berkesan dalam mempersiapkan pelajar menghadapi sebarang kemungkinan bencana.
Dua pelajar Malaysia di Niigata, Akmal Izzat Khairul Nizam dan Muhammad Iman Daniel Osman yang dihubungi Buletin TV3 berkata, latihan awal itu membuatkan mereka tidak panik dan mengikut arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa sewaktu gempa bumi melanda daerah itu pada 4.10 petang (waktu tempatan).
Latihan kecemasan yang dibuat oleh pihak universiti nyata berkesan dalam mempersiapkan pelajar menghadapi sebarang kemungkinan bencana. pic.twitter.com/KUFzGEfDUv
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) January 1, 2024
“Saya sedang masak ketika 4.15 petang tadi dan tiba-tiba rumah bergegar, barang-barang jatuh. Saya segera tutup gas dan berlindung di bawah meja. Saya periksa telefon untuk lihat maklumat terkini dan selepas itu rakan warga tempatan memaklumkan dalam 4.20 petang kemungkinan ada Tsunami di Niigata. Saya segera keluar dari rumah dan tengok penduduk sekitar sudah berpusu-pusu keluar. Saya cepat-cepat kemas barang penting termasuk pasport,” cerita Akmal Izzat ketika dihubungi.
Dalam pada itu Muhammad Iman Daniel lega apabila latihan kecemasan yang dilakukan di universiti membantu mereka ketika bencana benar-benar terjadi.
“Memang setiap universiti ada buat latihan kecemasan jika berlaku bencana, jadi kami sedikit sebanyak tahu apa yang perlu dilakukan apabila berlakunya gempa bumi dan bencana alam,” ujar Muhammad Iman Daniel.
Mereka kini berada di penginapan masing-masing selepas dibenarkan bersurai dari kawasan berkumpul di universiti selepas keadaan dilaporkan selamat.
Pelajar tahun ketiga jurusan kejuruteraan mekanikal itu bagaimanapun diminta untuk sentiasa bersedia dengan gelombang ketiga dan empat.
Terdahulu dilaporkan berlaku gempa bumi dengan magnitud 7.5 menggegar tengah Jepun sekitar pukul 4.10 petang (waktu tempatan).
Amaran tsunami dikeluarkan bagi mengarahkan penduduk meninggalkan kawasan-kawasan tepi pantai seperti Ishikawa, Niigata,Toyama dan Yamagata.