Oleh: Juliana Sharin
PETALING JAYA: Enam orang pelajar Malaysia di Jepun yang sedang bercuti di Ishikawa dilaporkan selamat dan ketika ini sedang berlindung di kawasan tinggi.
Sarah Huda Nor Azam yang dihubungi Buletin TV3 berkata, ini merupakan gempa bumi paling kuat pernah mereka rasai sepanjang tiga tahun berada di Jepun.
Enam orang pelajar Malaysia di Jepun yang sedang bercuti di Ishikawa dilaporkan selamat dan ketika ini sedang berlindung di kawasan tinggi. pic.twitter.com/0D4atoY6hG
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) January 1, 2024
“Kami sedang berteduh di salah satu kawasan kedai serbaneka dan kami pergi ke tempat tinggi kerana sejak 4.20 petang (waktu tempatan) tadi ada gempa bumi yang sangat teruk dan sekarang masih banyak gempa bumi susulan serta amaran tsunami besar terutama tempat yang kami berada sekarang iaitu Ishikawa,” katanya ketika dihubungi.
Ketika Buletin TV3 menghubungi tadi, mereka masih merasai beberapa siri gegaran kecil.
Tambah Sarah Huda orang ramai berpusu-pusu ke kedai serbaneka untuk mendapatkan barangan keperluan dan makanan.
“Apabila kejadian berlaku kami cuba bertenang dan keluar dari rumah. Ada jiran membantu apa yang perlu dibuat dan ada seorang jiran membuka bangunan untuk kami masuk ke dalam jika kami kesejukan pada masa itu,” tambahnya.
Pihak kedutaan juga telah menghubungi mereka untuk tindakan susulan.
“Kerajaan Jepun sangat cekap menguruskan bencana seperti ini dan semua saluran berita sentiasa menyiarkan laporan terkini,” katanya.
Terdahulu dilaporkan berlaku gempa bumi berukuran 7.6 skala Richter menggegarkan tengah Jepun dan melanda Semenanjung Noto di Ishikawa sekitar pukul 4.10 petang (waktu tempatan).
Amaran tsunami dikeluarkan bagi mengarahkan penduduk meninggalkan kawasan-kawasan tepi pantai seperti Ishikawa, Niigata,Toyama dan Yamagata.