KOTA KINABALU: Beberapa kawasan di Sabah dan Labuan merasai gegaran susulan gempa bumi kuat berukuran 6.6 pada skala richter yang melanda Mindanao, Filipina jam 10.13 pagi tadi.
Dalam satu kenyataan, Jabatan Meteorologi Malaysia, METMalaysia memaklumkan, ia bagaimanapun tidak mendatangkan ancaman tsunami kepada negara ini.
Daerah yang turut merasai gegaran itu termasuk Tawau.
Semua kakitangan di Wisma Persekutuan di Tawau diarah keluar dari bangunan itu.
Pegawai Bomba Kanan I Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Suheizan Sahak ketika ditemui berkata, bilik kawalan menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 10.47 pagi.
Sepasukan pegawai dan anggota bomba bersama dua buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
Pihak bomba kemudian mengambil keputusan bangunan itu dikosongkan sehingga jam 2 petang.
Beberapa kawasan di sekitar Kota Kinabalu dan daerah lain turut merasai gegaran sebelum diminta mengosongkan bangunan terbabit.
Antara bangunan terlibat Sabah Electricity Sendirian Berhad(SESB) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu(DBKK).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa