comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Gempa bumi di China, tiada rakyat Malaysia terlibat

 

KUALA LUMPUR : Tiada rakyat Malaysia yang terkesan dalam kejadian gempa bumi bermagnitud 6.2 yang melanda sempadan Wilayah Gansu-Qinghai di China semalam.

Perkara itu dimaklumkan Kementerian Luar (KLN) dalam satu kenyataan media pada malam ini.

Bagaimanapun jelas Wisma Putra, Malaysia turut bersimpati dan menzahirkan ucapan takziah ke atas keluarga mangsa yang maut dalam bencana alam itu.

“Malaysia menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah buat mangsa dan keluarga yang terkesan akibat gempa bumi ini, juga buat rakyat dan Kerajaan China.

“Sehingga kini, tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terlibat atau terkesan dengan gempa bumi ini. Kementerian Luar menerusi Konsulat Jeneral Malaysia di Xi’an akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa,” jelas kenyataan itu.

Bagaimanapun, rakyat Malaysia yang berada di sekitar kawasan yang terjejas dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengikuti arahan terbaharu dari pihak berkuasa.

Rakyat Malaysia juga dinasihatkan agar menghubungi Jeneral Konsulat Malaysia di Xi’an di talian berikut, Jeneral Konsulat Malaysia di Xi’an, Telefon/Fax : +8629-8956 8478 / +86 186 2968 1928 (selepas waktu bekerja).

Semalam, sempadan Wilayah Gansu-Qinghai dilanda gempa bumi bermagnitud 6.2 kira-kira jam 11.59 malam (waktu tempatan).

Mengikut laporan pihak berkuasa tempatan, sehingga kini 118 mangsa maut, manakala 397 lagi cedera di dua wilayah itu dan lebih 4,700 kediaman rosak selain bekalan elektrik, air, pengangkutan awam dan komunikasi turut terganggu.

Loading...
Terkini