Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Wisma Putra mengesahkan tiada rakyat Malaysia terkesan atau terjejas setakat ini akibat insiden gempa bumi di Bandung, Indonesia yang berlaku semalam.
Dalam kenyataan hari ini, Wisma Putra memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sedang memantau rapat keadaan semasa selepas berlaku kejadian tersebut.
“Rakyat Malaysia yang berada di kawasan yang terjejas dan kawasan berdekatan dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan berhati-hati serta mengikuti perkembangan terkini dan nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” menurut kenyataan itu.
Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar serta mengemas kini keberadaan dan maklumat mereka untuk berbuat demikian di https://ekonsular.kln.gov.my.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsulat atau mempunyai pertanyaan lanjut boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di alamat Jl. H.R. Rasuna Said Kav.X/6, No. 1-3, Kuningan, Jakarta Selatan 12950, Indonesia.
Mereka juga boleh menghubungi kedutaan di talian +62 21 522 4947 atau +62 813 8081 3036 untuk kecemasan di luar waktu pejabat atau menerusi e-mel ke [email protected].
“Malaysia turut berdukacita dan bersimpati terhadap mangsa dan keluarga yang terkesan akibat bencana alam ini,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, media melaporkan, gempa bumi berukuran 4.9 pada skala Richter melanda Kabupaten Bandung, Jawa Barat pada jam 9.41 pagi waktu tempatan semalam dan berlangsung antara tiga hingga lima saat yang turut dirasai di beberapa kawasan termasuk Bandar Bandung.
Gegaran itu mengakibatkan kerosakan kepada beberapa kediaman dan kemudahan awam termasuk pusat kesihatan, tempat ibadat dan balai polis.
Bagaimanapun, menurut jurucakap Badan Mitigasi Bencana Nasional (BNPB) Indonesia, Abdul Muhari, tiada laporan mengenai korban jiwa setakat ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.