KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa gempa bumi di wilayah autonomi Xizang, China, pagi tadi.Perdana Menteri sekali gus mendoakan semoga mereka semua mendapat kekuatan, keberanian dan sokongan yang diperlukan pada masa sukar kini.
Pada masa sama, beliau turut menzahirkan solidariti Malaysia terhadap rakyat Nepal yang terjejas susulan bencana itu.
“Ingatan kami bersama mangsa-mangsa, keluarga mereka dan komuniti yang sedang berhadapan dengan kehilangan serta kemusnahan.
“Malaysia bersolidariti dengan kerajaan dan rakyat China dalam menghadapi bencana tragis ini.
“Ingatan kami juga bersama Nepal di mana gegaran dirasai dengan kuat ketika kedua-dua negara berdepan cabaran untuk pembinaan semula dan pemulihan selepas bencana ini,” katanya dalam catatan melalui Facebook beliau, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan sekurang-kurang 53 terkorban akibat gempa bumi berukuran 6.8 magnitud melanda kawasan terpencil Himalaya di Tibet, China, hari ini.
Seramai 53 orang disahkan maut dan 62 yang lain cedera, setakat tengah hari tadi, selepas gegaran melanda daerah Dingri di bandar Xigaze, wilayah autonomi Xizang (Tibet), pada jam 9.05 pagi tadi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.