Oleh Dr. Mohd Istajib Mokhtar
Gempa Bumi di Malaysia
Semakin ramai telah menyedari bahawa Malaysia tidak terlepas dari geobencana gempa bumi meskipun berada di luar lingkaran api pasifik.
Menurut kenyataan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), beberapa siri kejadian gempa bumi kuat dengan julat magnitud antara 5.3 – 6.3 pernah melanda Sabah dan Sarawak sejak 1923 sehingga 2015.
Semenanjung juga tidak terkecuali.
Beberapa gegaran gempa bumi di Terengganu, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan dengan julat magnitud antara 1.6 – 4.6 pernah juga terjadi sejak 1984 sehingga 2013.
Menurut Jabatan Meterologi, Malaysia akan turut merasakan gegaran gempa bumi yang terjadi di negara-negara jiran terutama Indonesia dan Filipina kerana kedudukannya berhampiran dengan 2 sempadan pertembungan kepingan yang aktif keseismikannya iaitu:
- Sempadan pertembungan di antara Kepingan Indo-Australian dan Kepingan Eurasian di sebelah barat; dan
- Sempadan pertembungan di antara Kepingan Eurasian dan Kepingan Laut Filipina di sebelah timur.
Terkini, beberapa kawasan di negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung merasakan gegaran akibat gempa bumi kuat bermagnitud 7.0 melanda Selatan Sumatera, Indonesia pada awal pagi Selasa 25 April 2023.
Formulasi Polisi dan Inovasi Teknologi
Pelbagai inisiatif sama ada menerusi formulasi polisi dan inovasi teknologi telah diusahakan oleh agensi berwajib berdasarkan kepada prinsip pengurusan risiko bencana iaitu: 1) Pencegahan, 2) Kesiapsiagaan 3) Tindakbalas dan 4) Pemulihan.
Satu Garispanduan Pembangunan dan Pengurusan Di Kawasan Berisiko Bencana Gempa Bumi telah dihasilkan oleh PLAN Malaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa) dari satu memorandum daripada Perdana Menteri pada tahun 2015 bertajuk ‘Cadangan Langkah Pemulihan Bencana Gempa Bumi di Sabah dan Penambahbaikan Pengurusan Bencana Gempa Bumi di Malaysia’.
Garis panduan ini turut menyertakan garispanduan umum dan khusus. Garispanduan umum ini berasaskan kepada polisi antarabangsa seperti: 1) Sendai Framework for Disaster Risk Reduction 2015-2030, 2) Eurocodes 8: Design of Structures for Earthquake Resistance dan 3) Habitat III – New Urban Agenda (2017 – 2030).
Manakala garispanduan khusus pula menyenaraikan langkah-langkah pencegahan dan mitigasi sebelum, tindakbalas semasa dan pemulihan selepas bencana.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pula telah membangunkan Malaysian Standard (MS) bagi kod reka bentuk bangunan tahan gempa bumi dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang selamat menerusi perancangan kemajuan pembangunan yang sistematik, terancang dan berdaya tahan terhadap bencana gempa bumi.
Menerusi geran penyelidikan skim dana sains MOSTI pula, Teknologi Penyerap Getaran Struktur telah dibangunkan penyelidik universiti untuk mengelakkan risiko akibat gempa bumi.
Malah, MOSTI turut membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menganalisis pergerakan tanah runtuh menggunakan teknologi penderiaan jauh.
Jabatan Meteorologi (METMalaysia) pula telah membangunkan aplikasi mudah alih muCuaca dan RakanMET bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat sahih dan tepat mengenai keadaan cuaca semasa, gempa bumi dan tsunami.
Terdapat banyak lagi teknologi telah dan akan dibangunkan dalam usaha mencegah sehinggalah memulih impak gempa bumi.
Pendekatan Agama
Perlu disedari, gempa bumi bukan hanya perkara polisi dan inovasi, bahkan berkait rapat dengan hal manusiawi dan agamawi.
Usaha pencegahan, kesiapsiagaan, tindakbalas dan pemulihan gempa bumi tidak boleh mengabaikan aspek kemanusiaan dan keagamaan.
Pengurusan pusat mangsa bencana dan khidmat nasihat kaunseling misalnya wajar diperkasakan dengan melibatkan institusi dan komuniti agama.
Agama dan gempa bukanlah dua perkara yang terpisah.
Sejarah Islam telah menukilkan kisah-kisah gempa bumi pada zaman para nabi dan zaman para sahabat yang memberikan banyak iktibar.
Di dalam al-Quran dan Hadith juga terdapat kalimat yang sinonim dengan gempa bumi seperti:
- al-zalzalah – bermaksud gegaran bawah tanah yang kuat dan goncangan semulajadi bumi.
- al-rajfah – bermaksud gegaran dan goncangan.
Meski secara saintifik kita memahami gempa bumi terjadi disebabkan oleh pergerakan batuan di sepanjang garis sesar atau di atas persempadanan plat tektonik atau disebabkan oleh aktiviti gunung berapi, tetapi secara islami, gempa bumi disebabkan keingkaran manusia kepada perintah Tuhan selain petanda akhir zaman dan ujian keimanan.
Justeru, menjaga keseimbangan bumi bukan hanya melalui formulasi polisi dan inovasi teknologi, tetapi melalui intepretasi wahyu dan penyucian rohani dalam usaha mencegah, bersiapsedia, bertindak dan memulih impak gempa bumi.
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili Buletin TV3.