Tumpuan :
Nasional

Gelongsoran tanah dikesan di Pos Dipang

Mohd Azlan bersama Chong Zhemin ketika meninjau satu daripada lima jambatan rosak susulan banjir kilat di Kampung Sahom. – FOTO: NSTP

KAMPAR: Gelongsoran tanah dikesan berlaku di Pos Dipang dekat sini susulan hujan lebat yang mengakibatkan banjir kilat di Kampung Sahom, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, keadaan itu dikesan melalui tinjauannya bersama delegasi Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kampar serta Jabatan Kerja Raya (JKR), semalam.

Namun katanya, hanya satu rumah pondok membabitkan premis tidak berpenghuni terjejas daripada gelongsoran itu.

“Agensi seperti PDT dan JKR sudah bertindak pantas dengan meletakkan penutup pada lokasi bagi mengelakkan kejadian lebih buruk.

“Saya juga sudah letakkan amaran waspada kepada PDT supaya Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Dipang sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga (bagi dijadikan pusat pemindahan sementara) yang mana jika hujan lebat turun lebih sejam, penduduk kampung itu harus segera berpindah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui bersama Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin sewaktu menyampaikan sumbangan dengan nilai keseluruhan RM12,000 bagi pihak pusat khidmat Parlimen Kampar kepada 24 keluarga mangsa banjir yang melanda Kampung Sahom di pusat pemindahan sementara (PPS) SK Kampung Sahom, hari ini.

Chong Zhemin dalam pada itu turut mengumumkan penutupan PPS SK Kampung Sahom yang dihuni 91 mangsa dari 24 keluarga, jam 2 petang tadi.

Banjir kilat yang melanda Kampung Sahom pada Rabu lalu disifatkan paling buruk sejak lebih 20 tahun lalu iaitu sejak Tragedi Pos Dipang yang membabitkan bencana banjir lumpur berlaku pada Ogos 1996 yang meragut 44 nyawa.

Banjir pada Rabu lalu turut mengakibatkan lima jambatan kecil merentasi sungai di Kampung Sahom mengalami kerosakan dengan sekurang-kurangnya tiga daripada jambatan itu ranap dan perlu dibina baharu selain tinjauan turut mendapati terdapat juga kejadian penggelongsoran tanah kecil berlaku di kawasan kampung itu.

Sementara itu Mohd Azlan berkata, pihak kerajaan negeri akan berusaha sebaik mungkin mempercepat proses pembaikan dan pembinaan semua jambatan terbabit bagi kegunaan penduduk kampung.

“Sehingga kini kita masih menunggu anggaran kos pembaikan dan pembinaan jambatan baharu yang disediakan oleh pihak PDT bersama JKR. Pemantauan berterusan juga dilakukan bagi mengenal pasti punca banjir kali ini.

“Sama ada ia fenomena biasa atau sebaliknya, kita tunggu keputusannya sebelum bertindak,” katanya.

Seorang mangsa banjir Kampung Sahom, Mat Radzi Karim, 60, berkata pembaikan dan pembinaan jambatan baharu wajar disegerakan berikutan terdapat penduduk kampung yang tersekat sumber rezeki susulan kekangan bergerak menaiki kenderaan khususnya kereta.

Beliau yang juga pengusaha chalet peranginan di kampung itu juga mendedahkan insiden banjir kilat Rabu lalu menyebabkan beliau terpaksa mengembalikan wang deposit RM4,000 kepada pelanggan yang sudah membuat penempahan.

Loading...
Terkini