Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Kerajaan akan segera melakukan pembenihan awan di tujuh empangan di seluruh negara yang dijangka berdepan paras air merosot susulan gelombang haba melanda negara ketika ini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tujuh lokasi itu adalah di Sungai Muda, Sungai Kedah, Sungai Melaka, Sungai Kelantan, Sungai Klang, Sungai Bernam dan Sungai Similajau.
Namun, jelasnya beberapa faktor diambil kira seperti kelembapan udara yang tinggi, keadaan awan, kesesuaian angin dan kestabilan atmosfera bagi menjayakan operasi pembenihan awan.
“Saya petang ini akan terus pergi ke Sungai Muda dan Sungai Kedah untuk melihat sendiri keadaan di sana dan mengambil tindakan segera iaitu dari segi pembenihan awam,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Bil 1/2023 di sini, hari ini.
Operasi itu akan membabitkan kerjasama antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Jabatan Meteorologi (METMalaysia).
Ahmad Zahid berkata, mesyuarat turut memutuskan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bersiap siaga bagi pengagihan air minuman dan kegunaan domestik syarikat air dengan kerjasama syarikat air dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Mengulas lanjut, beliau berkata, 406 lokasi utama dijangka berlaku kebakaran terbuka di kawasan tanah gambut.
Menurutnya, 616 operasi pemantauan telah dilakukan di lokasi berisiko seperti kebun dan ladang, belukar serta kawasan pembuangan sampah.
“Kita telah mempunyai 101 telaga tiub di kawasan tanah gambut yang mana kita akan melakukan penyedutan air untuk memadam kebakaran selain daripada jentera bomba. Mungkin lokasi (kebakaran) agak jauh, jadi air dari telaga tiub akan digunakan.
“Pemantauan dilakukan di 47 menara tinjau oleh pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat, selain ada kamera litar tertutup berdefinisi tinggi untuk memantau kawasan dijangka terbakar,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, rakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diwujudkan melibatkan 152 badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu agensi itu di kawasan banjir dan lokasi dijangka berlaku kebakaran.