Oleh: Fahiz Ariff
PETALING JAYA: Langkah kerajaan mempercepatkan proses dan prosedur kelulusan permohonan bagi mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) adalah bertepatan pada masanya bagi melakar hala tuju industri halal yang mempunyai potensi pasaran yang meluas.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata memandangkan permintaan global yang semakin meningkat bagi produk dan perkhidmatan halal, tempoh itu sangat realistik.
“Tindakan bijak ini memang mampu menarik ramai pengusaha tempatan untuk menyertai industri halal di negara dan seterusnya mengembangkan potensi perniagaan mereka”
“Secara tidak langsung, hal ini turut menggalakkan pengusaha tempatan untuk keluar dari kepompong pasaran tempatan dan bermula menginjak ke pasaran dunia.” katanya.
Bagaimanapun, beliau berpendapat penguatkuasaan dan pemantauannya harus bergerak seiring bagi mengekang isu penularan sijil halal palsu dan penandaan halal palsu di premis perniagaan yang bakal wujud di masa akan datang.
“Di samping pensijilan halal, isu penandaan halal di premis tetap akan timbul angkara individu-individu yang tidak bertanggungjawab.”
“Untuk pastikan sijil ini tidak disalahgunakan, maka pihak berwajib harus pantau dengan lebih kerap dan jangan pula timbul masalah, kami tiada cukup kakitangan untuk pantau,” demikian jelasnya.
Berkongsi pandangan sama, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, (PPPBWPKL), Datuk Muhammad Baba berkata pemantauan seharusnya dijalankan dengan lebih ketat terutamanya melibatkan industri perkilangan yang berkaitan.
“Langkah ini bagus tetapi perlu ada pemantauan ketat dari semasa ke semasa, terutamanya, apabila melibatkan pengusaha-pengusaha bukan Islam yang memohon untuk mendapatkan sijil halal ini.”
“Sekaligus, mengatasi ketirisan yang cenderung untuk berlaku pada masa akan datang seperti, aspek kebersihan, pekerja dan perkhidmatan,” jelasnya ketika dihubungi Buletin TV3.
Terdahulu, proses dan prosedur kelulusan permohonan bagi mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) akan dipendekkan kepada tempoh 23 hari bekerja berbanding sekurang-kurangnya sembilan bulan mengikut amalan sebelum ini.
Keputusan segera itu dicapai pada mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, semalam.
Sebagai permulaan, Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) dan pihak berkaitan akan melaksanakan proses permohonan baharu sijil halal menerusi ‘proof of concept’ (POC) membabitkan lima premis perhotelan sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bagi melihat kelancaran proses itu.