KUALA LUMPUR: Insiden kemunculan sekumpulan tikus di sebuah kedai makanan segera di sebuah kompleks beli-belah dekat Pulau Pinang mendedahkan kenyataan bahawa perkara sama juga kerap berlaku di beberapa kedai makan dalam kompleks beli belah di negara ini.
Setidak-tidaknya itu antara reaksi segera daripada pengguna sebaik video kemunculan tikus-tikus itu dikongsikan oleh pengguna Twitter @khatulisteewa.
Berdasarkan video berdurasi 22 saat itu, kumpulan tikus itu kelihatan berkeliaran di kawasan sampah, bukannya di tempat makanan disediakan dan disimpan. Pada waktu itu, kelihatan kedai berkenaan seperti ditutup, sekali gus memungkinkan bahawa waktu video itu diambil, kejadian berlaku di luar waktu operasi perniagaan.
Video itu turut meraih lebih 144,000 tontonan.
Antara reaksi lain yang diberikan termasuk meminta pihak berkuasa dan Kementerian Kesihatan (KKM) memberi perhatian termasuk menyemak kejadian sedemikian di premis berkenaan.
Ini juga selaras ciapan seorang pengguna Twitter @maknae_taja yang mendakwa kehadiran tikus ke premis seperti itu adalah perkara biasa di kedai makan dalam pusat beli-belah.
“Saya tahu sesetengah orang lebih gemar makan di pusat beli-belah kerana lebih bersih berbanding kedai di tepi jalan.
Tetapi realitinya semua pusat beli-belah yang mempunyai restoran lazimnya mempunyai haiwan perosak, sama ada ia kelihatan atau tidak saja. Malah pusat beli-belah mahal di KL (Kuala Lumpur) juga mempunyai haiwan seperti itu di kedai makan,” dakwanya.