Tumpuan :
Nasional

Gelap mata, patah semangat punca hampir 30,000 pelajar tak ambil SPM – Pakar

Foto hiasan

Oleh: Fahiz Ariff

PETALING JAYA: Kemiskinan bukan penyumbang utama kepada keciciran hampir 30,000 pelajar atau lebih tepat  29,663 orang daripada jumlah keseluruhan 407,637 calon berdaftar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Sebaliknya menurut Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, gaya hidup atau keinginan meraih pendapatan di usia awal menyebabkan pelajar tidak minat dan tidak kisah untuk menduduki peperiksaan itu.

Justeru, bagi beliau, itu adalah faktor utama yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan.

“Kemiskinan itu telah menyumbang kepada keciciran sejak 50 tahun lalu dan kerajaan juga telah mengadakan pelbagai program untuk tangani isu itu.

“Contohnya, Asrama Harian, Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP), Bantuan Awal Persekolahan (BAP).

“Tetapi trend terkini mendapati selain daripada kemiskinan, satu lagi faktor yang semakin menular adalah gaya hidup, di mana mereka tidak dipaksa untuk berhenti sekolah tetapi mereka memilih untuk tidak meneruskan pendidikan kerana mahu bekerja”, katanya.

Tambahnya, berdasarkan profil kumpulan ini, rata-ratanya tidak berminat untuk menduduki SPM kerana merasakan ia bukan penentu masa depan.

Bagi pelajar ini, pendidikan tidak memberi jaminan  dan tanpa sijil SPM, mereka masih boleh bekerja.

“Pada masa sama, jika mendalami profil kumpulan ini, didapati sejarah pendidikan mereka sejak lima tahun maksudnya di sekolah menengah, prestasi akademik mereka sangat lemah.

“Jadi, mereka tidak nampak atau merasakan yang pendidikan itu boleh memberi jaminan kepada masa depan mereka”, kata beliau kepada Buletin TV3.

Dr Anuar Ahmad

Pada 18 Jun lalu, Perdana Menteri dilapor mengarahkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek untuk mencari hampir 30,000 pelajar yang tercicir ujian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tahun lalu.

Tambah beliau, kumpulan itu seharusnya diberikan peluang kedua untuk menduduki semula SPM atau beralih ke Program Pusat Latihan Teknikal Dan Vokasional (TVET).

Perdana Menteri berkata, kelompok tersebut tidak boleh dibiarkan daripada terus tercicir kerana majoriti merupakan golongan miskin.

Mengenai peluang kedua untuk pelajar berkenaan, Dr Anuar berpendapat TVET langkah lebih tepat jika mengambil kira prestasi akademik pelajar terbabit.

“TVET sangat bagus kerana ia menawarkan kursus-kursus yang fleksibel, maksudnya mereka boleh terus bekerja kalau mereka mahu.

“Pada masa sama, mereka boleh belajar secara fleksibel  sekaligus menarik minat mereka untuk meneruskan pembelajaran sambil bekerja untuk mendapatkan pendapatan.

“Hal ini penting, supaya mereka tidak akan ketinggalan untuk menjadi tenaga kerja mahir pada masa akan datang”, katanya.

Beliau juga menggesa reformasi pendidikan perlu disegerakan memandangkan sistem pendidikan negara masih di era 90-an

“Reformasi pendidikan perlu dilakukan sekarang, supaya ia lebih bersifat mesra kepada keperluan bakat dan kepelbagaian minat murid.

“Bukan semua murid minat Sejarah atau Bahasa Inggeris, tetapi bagaimana kita nak bantu mereka supaya mereka datang ke sekolah mahu belajar dengan pendidikan yang mereka dapat itu mereka boleh menjadi sumber manusia yang baik dan tidak ada lagi konsep gagal dalam peperiksaaan sepatutnya”, tegasnya.

Loading...
Terkini