
JOHOR BAHRU: Seorang wanita dipercayai gelandangan maut selepas dilanggar sebuah bas ketika melintas jalan di kawasan sebuah stesen minyak terbengkalai dekat Jalan Permas Utara, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa yang dianggarkan berusia 30 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika bas yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun dalam perjalanan dari Taman Permas Jaya ke Bakar Batu.
“Tiba di sebuah stesen minyak terbengkalai, mangsa tiba-tiba melintas jalan menyebabkan pemandu bas tidak sempat mengelak dan terlanggar mangsa.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, sehingga kini, identiti mangsa belum dapat dikenal pasti dan beliau meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga untuk tampil ke Balai Polis Trafik Johor Bahru Selatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Fathihah Ismail di talian 010-4171762 bagi membantu siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.