Tumpuan :
Nasional

Gejala rasuah dalam kalangan belia di negara ini berada di tahap serius

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman di majlis penutup di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), Kuantan.- Foto: NSTP

KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan aktiviti rasuah dalam kalangan golongan belia di negara ini adalah serius.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, ia berdasarkan statistik bagi tempoh lima tahun sejak 2020, apabila seramai 2,337 belia berumur antara 16 dan 40 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan rasuah.

“Berdasarkan statistik SPRM itu, antara kesalahan yang dikesan dilakukan golongan belia adalah membabitkan menerima dan memberi rasuah.

“Selain itu membuat tuntutan palsu, menggunakan jawatan atau kedudukan, pengubahan wang haram dan lain-lain kesalahan yang berakhir dengan sebanyak 1,073 pertuduhan dan 575 individu disabitkan atas kesalahan rasuah itu.

“Berdasarkan data ini, ia memberikan gambaran aktiviti rasuah dalam kalangan golongan belia ini adalah serius, yang perlu dibendung supaya ia tidak dinormalisasikan dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Program Kem Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) Institusi Pengajian Tinggi Zon Timur 2024 di Auditorium Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di sini hari ini.

Program Kem AMAR dianjurkan SPRM dan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), bertujuan meningkatkan kesedaran dan keyakinan masyarakat terhadap usaha pencegahan rasuah dan disertai 88 peserta

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Jawatankuasa Audit BPMB, Dr Othman Abdullah.

Dalam pada itu, Azmi berkata golongan belia, khususnya pelajar institusi pengajian tinggi yang bakal mentadbir dan meneraju negara pada masa hadapan menjadi penentu dalam usaha membanteras aktiviti rasuah.

Katanya, golongan belia diharap dapat memperkukuhkan lagi integriti dan tidak berkompromi terhadap rasuah.

“Oleh itu, Kem AMAR ini dianjurkan bertujuan untuk melahirkan pelajar yang peka terhadap isu berkaitan rasuah serta menjalin kerjasama berterusan untuk mencegah gejala rasuah dalam negara,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini