comscore
Tumpuan :
Nasional

Garis panduan perancangan tapak perkhemahan diluluskan untuk panduan pengusaha, PBT

FOTO: KPKT / Facebook

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-82 yang berlangsung di Parlimen hari ini bersetuju meluluskan Garis Panduan Perancangan Tapak Perkhemahan (GPPTP) sebagai panduan merancang dan memastikan tapak perkhemahan selamat, mampan serta mematuhi perundangan.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan memaklumkan garis panduan untuk pengguna, pengusaha dan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu, memfokuskan tiga aspek utama iaitu perancangan tapak, mekanisme pemajuan dan kawal selia serta pengurusan operasi tapak perkhemahan.

Turut dipersetujui Garis Panduan Pengurusan dan Penarafan Bintang Tandas Awam di Malaysia, menggantikan Garis Panduan Star Rating Kebersihan Tandas Kegunaan Awam di kawasan PBT.

FOTO: KPKT / Facebook

MNKT turut bersetuju dengan Garis Panduan Kawal Selia Perniagaan Dari Rumah yang berperanan sebagai panduan kepada PBT di seluruh negara dalam melaksanakan pematuhan dan penguatkuasaan aktiviti perniagaan dari rumah.

“Aspek-aspek utama yang dirangkumkan dalam garis panduan tersebut adalah ciri-ciri perniagaan dari rumah, pelan lokasi dan keluasan kebenaran berniaga, syarat dan tatacara permohonan lesen perniagaan serta perincian aktiviti perniagaan yang dibenarkan,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof itu turut bersetuju dan komited untuk terus menerajui agenda kemampanan perbandaran, dalam usaha menyokong pembangunan ekonomi ke arah meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat di negara ini.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini