Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Garis panduan pelaksanaan SSPA dikeluar suku pertama tahun depan – PM

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengeluarkan garis panduan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) selewat-lewatnya suku pertama tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu bagi membolehkan kerajaan mengumumkan gaji baharu penjawat awam menjelang penghujung tahun depan selepas kajian berkenaan siap.

“Sebelum akhir tahun ini disambung suku pertama tahun 2024, kita akan berikan beberapa garis panduan (SSPA) supaya terikat dengan keupayaan kerajaan agar sebelum akhir tahun depan kita boleh umumkan skim gaji baharu untuk penjawat awam di negara kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA) tahun 2023, di sini malam ini.

Pengumuman Perdana Menteri itu disambut tepukan dan sorakan kira-kira seribu penjawat awam yang menghadiri majlis berkenaan.

Beliau yang juga merangkap Menteri Kewangan sebelum ini dilaporkan mahu SSPA disiapkan sekitar pertengahan tahun hadapan untuk memastikan struktur gaji baharu penjawat awam dapat diumumkan dalam belanjawan akan datang.

Mengulas lanjut, jelas Perdana Menteri, Bayaran Insentif Awal Kajian SSPA yang diumumkan beliau pada Belanjawan 2024 adalah kerana kajian penyelarasan gaji tersebut mengambil masa dan melibatkan semua jabatan kerajaan.

Dalam Belanjawan 2024, kerajaan bersetuju untuk memberi Bayaran Insentif Awal Kajian SSPA sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak.

Sebanyak RM1,000 pula diberikan kepada semua Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) membabitkan semua termasuk polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata serta seluruh anggota beruniform, manakala bayaran insentif RM1,000 turut dipanjangkan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.

“Saya akui dasar kita ada kajian penyelarasan gaji setiap 10 tahun, ini nak masuk tahun ke-12, sebelum ini tidak ada kajian menyeluruh tetapi sekarang saya telah umum dan akan lakukan,” katanya.

Selain itu, beliau turut meminta penjawat awam untuk membantu kerajaan dan bekerja sebagai satu pasukan dalam usaha membawa perubahan kesejahteraan negara dengan beberapa agenda yang telah disediakan.

Ini termasuk bertanggungjawab melonjakkan ekonomi negara yang mendatar selama 20 tahun berbanding Vietnam dan Indonesia.

“Saya syukur dengan rakan Jemaah Menteri. Jalinan kerjasama dengan parti utama setelah terumbang-ambing beberapa bulan, politik negara stabil dan kita punya amanah untuk merencana dan meletakkan dasar jelas dan kita tumpu ke arah mengangkat martabat ekonomi serta kesejahteraan rakyat dan negara dan kita punya sekurang-kurangnya empat tahun sebelum pilihan raya akan datang,” katanya.

Loading...
Terkini