Tumpuan :
Nasional

Garis panduan PEERS didik murid lindungi diri daripada jenayah seksual

Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek (empat kiri) pada majlis peluncuran Garis Panduan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) Kebangsaan di SMK St. Mary. Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan melancarkan Garis Panduan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) Kebangsaan dalam usaha menangani peningkatan kes kehamilan remaja luar nikah di negara ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata garis panduan itu disifatkan sebagai tepat pada masanya, memandangkan cabaran yang dihadapi negara dengan pelbagai isu termasuk keganasan seksual terhadap kanak-kanak dan gadis muda.

Katanya, garis panduan ini direka untuk menyampaikan mesej secara langsung kepada masyarakat khususnya pendidik, ibu bapa dan komuniti yang lebih luas, termasuk organisasi bukan kerajaan bagi membantu meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan reproduktif.

“Selain daripada tepat dilancarkan dan perlu disebarluaskan, antara satu fokus utama adalah bagaimana ia akan mengukuhkan ekosistem, terutama dalam menjaga keselamatan anak-anak kita, terutamanya dari gangguan seksual dan melindungi maruah mereka.

“Adalah penting untuk mengajar anak-anak bagaimana mengatakan tidak terhadap gangguan dan bagaimana untuk memastikan bahawa mesej ini sampai kepada setiap orang,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran garis panduan, berkenaan, di sini, hari ini.

Fadhlina berkata, garis panduan ini akan diedarkan ke sekolah-sekolah dan pelbagai program kesedaran yang membabitkan ibu bapa dan komuniti akan diadakan memandangkan keperluan mendesak terhadap isu ini.

“Kami berharap anak-anak kita akan bersedia untuk menjadi duta dan mengamalkan garis panduan ini.

“Saya yakin bahawa di masa depan, mereka akan memperjuangkan isu-isu ini dengan lebih baik daripada kami kerana pelbagai panduan tersedia, berbanding zaman dulu.

“Kita berharap mereka akan menjadi generasi yang lebih maju, cemerlang daripada kami dalam perkara yang berkaitan dengan kesihatan,” katanya.

Menyentuh mengenai jumlah kehamilan luar nikah di kalangan kanak-kanak dan remaja, Fadhlina berkata, beliau percaya ini adalah pendekatan yang tepat pada masanya dan bukannya masa untuk berdebat mengenai data, tetapi ini mengenai mengambil tindakan.

“Garis panduan ini bertujuan untuk mencapai lima objektif utama iaitu untuk mengembangkan kemahiran manusia berkaitan dengan kesihatan reproduktif dan sosial untuk semua lapisan masyarakat.

“Kedua, untuk memupuk sikap yang seimbang dan nilai positif dalam kalangan masyarakat mengenai kesihatan reproduktif dan sosial untuk kehidupan yang berkualiti, selamat, dan bertanggungjawab.

“Ketiga, untuk menyediakan maklumat dan panduan mengenai pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial kepada semua lapisan masyarakat serta menggalakkan penyertaan ibu bapa, guru, komuniti dan pihak berkepentingan lain dalam penyampaian pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial.

“Akhir sekali, untuk menyokong pembangunan individu yang sihat dan sejahtera dalam masyarakat, khususnya di kalangan belia,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini