comscore
Tumpuan :
Nasional

Garis panduan CRESS diumum September

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Tenaga dijangka mengeluarkan garis panduan pelaksanaan Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) pada bulan depan.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkan, skim berteraskan akses pihak ketiga yang bakal bermula bulan depan itu juga adalah inisiatif progresif kerajaan MADANI dalam mewujudkan opsyen pembekalan elektrik hijau yang lebih luas kepada pengguna.

“Satu sesi dialog dan penerangan kepada pihak industri mengenai pelaksanaan Program CRESS telah diadakan pada 22 Ogos lalu bagi mendapat maklum balas daripada pihak industri mengenai prinsip asas serta kerangka pelaksanaan program ini,” menurut kenyataan itu.

Menurut PETRA, sesi dialog yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Kira-kira 250 pemain industri hadir dan pelbagai idea serta pandangan berkaitan pelaksanaan program CRESS diutarakan.

“Timbalan Perdana Menteri telah menutup sesi dialog ini dengan memaklumkan bahawa maklum balas yang diutarakan oleh wakil industri akan diteliti dan diambil kira dalam penyediaan garis panduan pelaksanaan CRESS yang dijangka dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga pada September 2024,” menurut kenyataan itu.

CRESS membolehkan penjana tenaga boleh baharu (TBB) dan pengguna korporat yang layak mendapatkan sumber tenaga itu secara langsung daripada pembekal dengan akses pihak ketiga kepada grid elektrik sedia ada yang menyertai pasaran perjanjian penghantaran dipertingkatkan baharu.

Pada masa ini, syarikat boleh memenuhi komitmen elektrik hijau mereka dengan memasang sistem fotovoltan solar melalui program Pemeteran Tenaga Bersih dan Penggunaan Sendiri, membeli sijil TBB melalui Malaysia Green Attributes Trading System (mGATS) atau melanggan Tarif Elektrik Hijau (GET).

Selain itu, pada 31 Ogos 2022, kerajaan juga telah memperkenalkan Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) untuk membantu syarikat mencapai komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui pembelian elektrik hijau secara maya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini