comscore
Tumpuan :
Nasional

Gara-gara ubat nyamuk, rumah terbakar, suami isteri melecur 

Seorang daripada dua mangsa yang melecur dalam kebakaran di sebuah flat Jalan Mayang Pasir, Taman Bukit Gedung, Bayan Baru di sini, ketika diberi rawatan awal. FOTO: NSTP/ Ihsan JBPM

GEORGE TOWN: Sepasang suami isteri melecur anggota badan selepas sebahagian rumah mereka di tingkat empat sebuah flat di Jalan Mayang Pasir, Taman Bukit Gedung, Bayan Baru di sini, terbakar.

Mangsa yang masing-masing berusia 60 dan 58 tahun itu kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi menerima rawatan lanjut.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru Mohamad Hirman Mat Rodzi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 1.15 petang.

Katanya, pasukannya yang dibantu anggota dari BBP Seri Balik Pulau ke lokasi sejurus mendapat maklumat.

“Sebaik tiba, didapati kebakaran membabitkan sebuah bilik di tingkat empat rumah flat berkenaan.

“Terdapat dua mangsa di dalam rumah itu yang terdiri daripada pasangan suami isteri,” katanya ketika dihubungi di sini.

Anggota JBPM Pulau Pinang memadam kebakaran di sebuah flat Jalan Mayang Pasir, Taman Bukit Gedung, Bayan Baru di sini, yang menyebabkan pasangan suami isteri melecur pada anggota badan. FOTO: NSTP/ Ihsan JBPM

Mengulas lanjut Mohamad Hirman berkata, pasukan penyelamat kemudian bertindak memadam kebakaran yang membabitkan kemusnahan sehingga 50 peratus.

“Pasukan penyelamat mengambil masa kurang 10 minit bagi mengawal kebakaran daripada merebak.

“Wanita berkenaan dipercayai melecur sehingga 80 peratus manakala lelaki terbabit pula sebanyak 50 peratus dan mereka diberi rawatan awal sebelum dibawa ke HPP bagi tindakan lanjut,” katanya lagi.

“Kita difahamkan oleh mangsa bahawa dia ada memasang ubat nyamuk di bawah almari di dalam bilik berikutan serangan nyamuk dan kemungkinan ia mencetuskan kebakaran,” katanya.

Loading...
Terkini