comscore
Tumpuan :
Nasional

Gara-gara gajah liar, petani di Johor rugi RM1 juta  

Segelintir pengguna jalan raya memberhentikan kenderaan di bahu jalan bagi melihat lebih dekat kumpulan gajah di Kahang, Kluang, Johor baru-baru ini. – Foto ihsan pembaca

KLUANG: Secara purata, sebanyak 100 aduan diterima Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor, daripada petani di negeri itu selepas tanaman mereka musnah dirosakkan gajah.

Pengarahnya, Aminuddin Jamin dalam satu kenyataan berkata, kemusnahan itu menyebabkan kerugian kira-kira RM1juta dalam tempoh setahun.

“Berdasarkan rekod terdahulu, purata anggaran kerugian sebanyak RM1 juta setahun membabitkan purata 100 aduan setahun di seluruh negeri Johor,” katanya mengulas  rakaman video  tular di media sosial memaparkan tindakan sebahagian pengguna jalan raya  memberhentikan kenderaan di bahu jalan bagi melihat lebih dekat kumpulan gajah yang dipercayai berada di sekitar Kahang baru-baru, ini.

Jabatan PERHILITAN daerah Kluang katanya turut melakukan siasatan dan pemantauan berkaitan kehadiran gajah liar yang memusnahkan tanaman petani di Kahang.

 

“PERHILITAN Negeri Johor menasihatkan orang awam supaya tidak keluar dari kenderaan. Jika terpaksa memberhentikan kenderaan kerana memberi laluan kepada kumpulan gajah melintas, pastikan jarak kenderaan adalah selamat dan tidak terlalu hampir,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian dan rekod pihaknya, kumpulan gajah liar berkenaan dipercayai dari Kumpulan ID Tenggara dan dianggarkan berjumlah  30 sehingga 40 ekor.

“Dipercayai haiwan liar berkenaan mencari makanan kerana terdapat sumber makanan dari aktiviti penanaman semula pokok kelapa sawit. Biasanya kumpulan ini akan kembali semula ke habitat asal setelah mendapat sumber makanan,” katanya.

Selain itu, Pengarah Pejabat Kelestarian Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Mohd Fadhil Md Din berkata, orang ramai tidak seharusnya berada hampir dengan haiwan liar kerana risiko diserang lebih tinggi.

“Haiwan liar mudah mengalami panik dan kecelaruan sama ada disebabkan naluri mempertahankan diri ataupun sifat semula jadi haiwan yang menjaga kawasan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau yang juga Felo Pusat Kelestarian Alam Sekitar dan Keselamatan Air (IPASA) UTM berkata, bagi mengatasi ancaman gajah khususnya di kawasan penempatan penduduk dan pertanian, rizab laluan haiwan liar perlu diwujudkan.

“Langkah terbaik adalah menyediakan zon perlindungan baharu atau ‘wild path’ dan dicadangkan supaya kawasan sekitar kebun dibuat zon penampan sekurang-kurangnya 200 meter dengan zon tanaman selain persediaan kawalan biologi di zon perlindungan,” katanya.

Beliau berkata, terdapat pelbagai punca menyebabkan kemunculan haiwan berkenaan sama ada habitat liar kehabisan sumber makanan, zon perlindungan yang semakin mengecil dan laluan asal habitat ini diganggu.

“Faktor lain disebabkan haiwan ini terpisah dengan kawanan asal dan mencari perlindungan. Terdapat juga gangguan daripada zon penampan atau habitat liar yang semakin diceroboh tanpa perancangan,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini