KANGAR: 140 penumpang dari Langkawi ke Kuala Perlis mengalami detik cemas apabila Feri Langkawi 1 yang mereka naiki tersangkut pada tali yang hanyut .
Insiden itu menyebabkan feri terkandas hampir lima jam berhampiran Terminal Feri Kuala Perlis, di sini, kira-kira 8 malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira 2.5 batu nautika barat daya Kuala Perlis.
Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom, berkata feri penumpang berkenaan memulakan perjalanan pada petang.
“Ketika perjalanan berbaki 0.9 kilometer sahaja, feri berkenaan tersangkut tali yang dipercayai hanyut di perairan berkenaan menyebabkan perjalanannya tergendala.
“Kita belum dapat mengenal pasti sama ada tali berkenaan adalah tali pukat nelayan atau tali yang hanyut dari kawasan lain”, katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, sumber Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berkata, aset APMM dikerah ke lokasi kejadian bagi memantau kerja menunda feri berkenaan.
“Malah, syarikat feri juga sudah menghantar sebuah bot nelayan tempatan untuk membantu menunda feri berkenaan hingga ke terminal feri.
“Penumpang bagaimanapun berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Feri akhirnya tiba di Terminal Feri Kuala Perlis pada 12.20 pagi hari ini.