Oleh: Zahir Senapiah
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga China kerugian RM2.6 juta selepas diperdaya dalam urus niaga mengimport durian Musang King sejuk beku.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, mangsa tampil membuat laporan polis mendakwa ditipu seorang suspek yang juga warga China yang meyakinkannya menggunakan Approved Permit (AP) milik syarikat eksport buah-buahan di Malaysia.
Katanya, suspek mendakwa AP syarikat terbabit perlu digunakan bagi mengimport durian Musang King sejuk beku dari negara ini ke China.
“Mangsa telah berjumpa dengan suspek di China dan bersetuju membeli sebanyak 3,840 karton durian Musang King sejuk beku bernilai RM2.6 juta.
“Pada 5 Julai lalu, pemindahan wang dilakukan ke dalam satu akaun bank milik syarikat lain yang berdaftar di Malaysia, seperti diarahkan oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, mangsa telah dijanjikan akan menerima durian Musang King sejuk beku dalam tempoh sebulan, namun, selepas pembayaran dilakukan mangsa tidak menerima produk yang dijanjikan.
Mangsa cuba menghubungi suspek bagaimanapun gagal dan meminta rakannya di Malaysia mencari syarikat pemilik AP terbabit.
Bagaimanapun, syarikat itu dilaporkan berkata tidak pernah berurus niaga dengan syarikat mangsa seperti yang didakwa.
Katanya, mangsa kemudiannya datang ke Malaysia untuk membuat laporan polis memandangkan akaun bank yang digunakan suspek adalah milik syarikat berdaftar di negara ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420/411 Kanun Keseksaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.