comscore
Tumpuan :
Nasional

Gara-gara cinta maya, kakitangan sekolah rugi RM120,900  


MIRI: Seorang kakitangan sekolah di sebuah sekolah kerajaan di sini kerugian RM120,900 selepas ditipu ‘kekasih’ maya.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu, berkata wanita berusia 52 tahun itu membuat laporan polis semalam, selepas menyedari ditipu `kekasih’ dari luar negara yang dikenali di laman sosial.

Katanya, mangsa  berkenalan dengan suspek melalui Instagram pada Ogos 2022 dan suspek memaklumkan jatuh cinta dengan mangsa serta berhasrat ke Malaysia untuk bertemunya.

“Pada Disember 2022, suspek meminta sejumlah wang kononnya untuk kegunaan harian.

“Mangsa yang terpedaya dengan kata-kata manis suspek dan atas dasar sayang, memasukkan wang ke dalam akaun pihak ketiga menerusi 30 transaksi pemindahan.

“Jumlah keseluruhan transaksi adalah RM120,900 yang dilakukan bermula 13 Disember 2022 sehingga 28 Februari 2023,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, mangsa hanya menyedari diperdaya apabila gagal menghubungi suspek selepas melakukan semua pemindahan wang.

Alexson mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang pujian atau pujuk rayu rakan media sosial yang baru dikenali.

“Jangan mudah terpesona dengan gambar profil yang cantik atau tampan digunakan di media sosial,” katanya.

Beliau juga meminta orang ramai agar membuat semakan nombor telefon dan akaun bank melalui Check Scammers CCID atau melalui laman sesawang http://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi kewangan.

Loading...
Terkini