Tumpuan :
Nasional

Gara-gara bekas suami tak bayar pinjaman along, wanita dan anak jadi mangsa 

Chin Tsai (kiri) bersama mangsa (kanan) menunjukkan laporan polis dan ugutan along. – FOTO Azrul Edham.

SEREMBAN: Seorang ejen insurans dan keluarganya kini diancam individu disyaki along yang sering mengganggu mereka dipercayai akibat bekas suami yang tidak membayar hutang sindiket itu.

Wanita berusia 51 tahun berkata, dia sudah bercerai dengan bekas suami sejak 24 tahun lalu dan tidak lagi berhubung dengannya.

Katanya, dia turut menerima surat layang yang di alamat ke rumahnya di Rasah Kemayan yang berisi gambar bekas suaminya dan tertulis perkataan ‘scammer’, kelmarin.

“Dua minggu lalu, saya menerima panggilan daripada seorang individu yang bertanyakan nama dan hubungan saya dengan bekas suami. Lelaki itu juga bertanya sama ada ada berhubung dengan suami.

“Dalam masa sama, individu dipercayai along itu turut menghubungi anak saya yang berusia 24 tahun. Namun, anak tidak menjawab panggilan, bagaimanapun, lelaki itu menghubungi melalui WhatsApp,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Ujarnya lagi, dia hairan bagaimana pihak disyaki along itu memperoleh nombor telefon dia dan anaknya, malah mengetaui alamat rumahnya sedangkan mereka sudah tidak berhubung selama lebih 20 tahun.

“Apa yang membimbangkan, along berkenaan tahu lokasi rumahnya saya dan menghantar surat. Pada surat itu turut tertera nombor telefon.

“Nombor telefon yang sama turut menghubungi ibu saya, namun ibu tidak menjawabnya. Saya syak ini perbuatan along yang tidak berpuas hati kerana bekas suami tidak membayar pinjamannya.

“Saya takut mereka kacau ibu kerana dia sudah berusia dan mempunyai Parkinson serta ‘anxiety’. Sejak dari kejadian terima surat ini, ibu saya tidak boleh tidur pada waktu malam,” katanya.

Susulan kejadian itu dia membuat laporan polis di Balai Seremban, kira-kira jam 5.45 petang kelmarin kerana khuatir akan keselamatan dirinya dan mendapatkan bantuan ADUN Temiang, Ng Chin Tsai.

Sementara itu, Chin Tsai berkata, peminjam mungkin meletakkan nama dan nombor telefon mangsa sebagai orang untuk dihubungi.

“Keluarga wanita ini tidak tahu menahu mengenai jumlah pinjaman, tarikh pinjaman dibuat dan butiran lain. Mereka menjadi mangsa keadaan, jadi saya minta ahlong supaya jangan ganggu mereka,” katanya.

Loading...
Terkini