ALOR SETAR: Jabatan Perikanan akan menggantung lesen vesel nelayan yang didapati melanggar syarat dan mengeluarkan kompaun ke atas bot menggunakan pukat mata 300 serta pukat bubu naga.
Timbalan Ketua Pengarah Perikanan, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, hukuman itu dikenakan ke atas bot pukat tunda yang dikesan menceroboh kawasan bawah lima batu nautika dari pantai.
“Kita akan ambil tindakan tegas jika berlaku pelanggaran syarat kepada pemilik lesen.
“Selain kompaun, hasil tangkapan akan disita manakala lesen vesel digantung setahun bertujuan mengurangkan aktiviti pencerobohan berterusan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Jumaat lalu, media melaporkan pendapatan lebih 1,000 nelayan pantai di Tanjung Dawai, Kuala Muda, terjejas selepas hasil tangkapan berkurangan sejak enam bulan lalu.
Kebanyakan nelayan yang turun ke laut pulang tangan kosong selepas hasil di perairan berkenaan dikatakan semakin pupus akibat penggunaan pukat mata 300 atau jaring halus yang tidak dikawal.
Wan Muhammad Aznan berkata, pengurangan ikan boleh berlaku sekiranya penggunaan peralatan larangan seperti pukat mata 300 dan bubu naga menjadi tidak terkawal serta pencerobohan zon perikanan.
“Musim Monsun Timur Laut (MTL) iaitu sepanjang November hingga Mac turut memberi kesan kepada pendaratan ikan di Perairan Pantai Timur dan Pantai Barat.
“Ini boleh berlaku akibat perubahan iklim seperti pengaruh arus yang membawa makanan ikan (plankton), hujan berpanjangan, kemasukan air tawar dari sungai yang berlebihan serta beberapa faktor lain yang bersifat sementara,” katanya.
Wan Muhammad Aznan berkata, pihaknya masih membekukan pengeluaran lesen baharu menangkap ikan bagi Zon Pantai iaitu Zon A, B dan C.
Katanya, lesen Zon C2 (laut dalam) dan C3 (Lautan Hindi) sahaja masih dipertimbangkan untuk permohonan lesen baharu.