KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) didesak menggambil tindakan bersesuaian kepada dalang dalam pembikinan filem kontroversi, Mentega Terbang arahan sutradara muda, Khairil Anwar.
Menerusi satu kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung SENIMAN, Hafiz Nafiah, berkata pihaknya berharap FINAS mengambil tindakan termasuk menggantung lesen produksi atau terus menamatkan lesen syarikat filem tersebut.
Artikel berkaitan: Mentega Terbang diharamkan tayangan, bertentangan kepentingan awam
“SENIMAN menggambil maklum dan menyambut baik mengenai Perintah Penapisan Filem (larangan) 2023 yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Dalam Negeri di bawah seksyen 26 Akta Penapisan Filem 2002 yang memberikan kuasa kepada menteri untuk membuat perintah larangan kepada filem Mentega Terbang.
“Pada 3 Mac lalu, saya sudah membuat satu laporan Polis terhadap filem berkenaan di Balai Polis Dang Wangi. Sehubungan dengan keputusan Menteri Dalam Negeri di bawah undang-undang, SENIMAN memohon agar pihak FINAS menggambil tindakan susulan kepada dalang dalam pembikinan filem termasuk menggantung lesen produksi atau terus menamatkan lesen syarikat tersebut,” katanya.
Selain itu, Hafiz berkata, individu yang terbabit juga perlu diambil tindakan sewajarnya sebagai langkah dan amaran keras kepada mana-mana syarikat produksi atau individu supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama.
“Ini bagi memberikan isyarat jelas kepada semua pihak bahawa tidak ada tolak ansur dalam pembikinan karya yang menyentuh isu-isu 3R di negara ini termasuk isu yang membabitkan akidah,” katanya.
Terdahulu, SENIMAN membuat laporan polis terhadap penerbit filem Mentega Terbang iaitu Anomalist Production dan Meng Kheng Entertainment atas dakwaan karya itu menghina Islam dengan kandungan berbaur hasutan.
Laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 3 Mac lalu itu menamakan penerbit, pengarah dan penulis cerita asal filem Mentega Terbang sebagai pihak terbabit dalam penghasilan filem kontroversi itu.
Berikutan itu, Hafiz turut menegaskan pihaknya tidak akan keberatan untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang menghasilkan kandungan yang tidak sensitif terhadap isu keagamaan, bangsa dan budaya di negara ini.
“SENIMAN tidak akan teragak-agak untuk terus melaporkan mahupun menggesa pihak berkuasa terus menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya ada lagi pihak yang tidak sensitif dengan menerbitkan karya sedemikian rupa,” katanya.
Sebelum ini, Mentega Terbang tular selepas dikecam mengandungi babak didakwa seakan-akan mempersendakan Islam dan menyentuh sensitiviti umat Islam.
Filem berdurasi sejam 45 minit itu menjadi bualan hangat kerana mengandungi babak seorang bapa yang berfikiran terbuka apabila tidak menghalang anak memilih agama, di mana perbuatan itu bertentangan dengan Islam.
Selain itu dialog watak kanak-kanak perempuan bernama Aishah menjadi perdebatan kerana dianggap boleh menimbulkan keraguan dalam kalangan penonton.