Tumpuan :
Nasional

Gantung atau batalkan lesen perniagaan GISBH, MBKT tunggu mesyuarat MKI

Restoran Ikhwan yang beroperasi menjalankan aktiviti perniagaan di Jalan Tanjung, Bandar Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menunggu warta Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) sebelum mengambil tindakan sama ada menggantung atau membatalkan lesen perniagaan premis milik GISB Holdings (GISBH).

Datuk Bandar MBKT, Datuk Rosli Latif berkata pihaknya juga akan meneliti syarat sebelum tindakan menggantung dan membatalkan lesen perniagaan organisasi itu diambil.

Katanya, MKI dijadual bermesyuarat selama tiga hari bermula hari ini, yang mana warta mengenai GISBH yang kini disiasat dan diambil tindakan melalui Op Global dijangka dikeluarkan.

“Kita tidak boleh mengambil tindakan tergesa-gesa, sebaliknya akan meneliti syarat lesen perniagaan dikeluarkan kepada GISBH.
“Setakat ini, kita dimaklumkan GISBH sudah menutup perniagaan termasuk restoran yang terletak di Jalan Sultan Zainal Abidin dan perniagaan roti di Kuala Nerus,” katanya.

Rosli berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang dilaporkan berkata, MKI akan memutuskan sama ada menggantung atau membatalkan lesen perniagaan milik GISBH di negeri ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dilaporkan berkata, mesyuarat jawatankuasa Muzakarah MKI akan diadakan di sebuah hotel di Terengganu selama tiga hari bermula hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini