KUALA LUMPUR: Persatuan Pencinta Haiwan Selangor (SPCA) menawarkan ganjaran RM10,000 bagi maklumat sah yang membawa kepada pengecaman dan pendakwaan individu yang bertanggungjawab atas perbuatan kejam memotong anggota badan haiwan di Universiti Malaya (UM).
Pengerusi SPCA Selangor, Christine Chin, berkata perbuatan kejam itu bukan saja mengerikan dan menyayat hati, tetapi juga perbuatan jenayah berat mengikut Akta Kebajikan Haiwan Malaysia 2015.
“Kami menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat yang boleh dipercayai untuk tampil ke hadapan. Bersama-sama kita memastikan keadilan untuk haiwan yang tidak bersalah ini dan mencegah tragedi masa depan.
“Walaupun punca sebenar perbuatan kejam itu tidak diketahui, insiden itu menekankan keperluan untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan tidak berat sebelah.
“Sama ada kecederaan berpunca daripada tindakan manusia atau interaksi haiwan sesat, adalah penting untuk menentukan fakta dan melaksanakan langkah-langkah untuk mencegah bahaya selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Sebelum itu, akhbar melaporkan selepas lima kucing dilaporkan mati didakwa dibunuh di Universiti Malaya (UM), seekor lagi bangkai kucing ditemukan berhampiran pusat gimnasium universiti berkenaan.
Kesatuan Mahasiswa UM (KMUM) memaklumkan, bukan itu saja, seekor anjing turut dilaporkan mati dengan diperlakukan jenayah sama.
Chin berkata, perkara ini perlu disiasat dari semua sudut supaya dapat menangani punca utama iaitu sama ada kekejaman manusia atau pengurusan haiwan liar yang tidak mencukupi.
“Kempen ganjaran ini terbukti berkesan dalam menangani kekejaman terhadap haiwan. Inisiatif sama di Pulau Pinang berjaya menghentikan kejadian keracunan dan ganjaran RM10,000 di UM bertujuan untuk menggalakkan pemberi maklumat, mencegah kejadian di masa hadapan dan meningkatkan kesedaran.
“SPCA juga menggesa komuniti UM untuk terus memantau dan melaporkan aktiviti mencurigakan,”katanya.
Sebarang maklumat yang ingin dikongsi secara sulit boleh berhubung di talian 011-51189716 atau [email protected].
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.