Tumpuan :
Nasional

Ganjaran hilang upaya veteran ATM dibayar sebelum Ramadan – Adly

Adly (kiri) menyampaikan Ganjaran Hilang Upaya (GHU) kepada veteran tentera di Alor Gajah. – FOTO: NSTP

MELAKA: Berita gembira menanti veteran tentera hilang upaya apabila pemberian Ganjaran Hilang Upaya (GHU) Kementerian Pertahanan membabitkan antara RM6,000 hingga RM72,000 setiap individu, akan dibayar sebelum Ramadan.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, pihaknya berupaya menyelesaikan semua GHU berkenaan pada Februari ini atau selewat-lewatnya sebelum Ramadan kepada 1,825 veteran ATM hilang upaya di seluruh Malaysia.

Katanya, sebahagian daripada ganjaran itu sudah disampaikan oleh menteri sebelum ini, dan selebihnya akan dimasukkan dalam akaun bank penerima.

Menurutnya, mereka yang memperoleh ganjaran berkenaan terdiri daripada tentera cedera ketika bertugas sama ada semasa melaksanakan operasi atau menyertai latihan berisiko tinggi.

“Daripada jumlah keseluruhan 1,825 orang, seramai 292 veteran ATM mengalami kecederaan semasa operasi dan latihan berisiko tinggi dengan kos keseluruhan antara RM10 juta hingga RM15 juta,” katanya selepas menyampaikan faedah GHU kepada 38 veteran ATM dari zon Tengah iaitu Melaka dan Negeri Sembilan

Beliau berkata, kerajaan sebelum ini mengumumkan penambahbaikan Kadar Faedah Hilang Upaya (FHU) veteran ATM berkuat kuasa pada Januari 2025.

Katanya, antaranya, ia membabitkan peningkatan Pencen Hilang Upaya (PHU) Pencen bulanan bagi semua peratus darjah hilang upaya dan kenaikan 10 peratus untuk penerima sedia ada di susunan 2A di dalam PPAT 1982.

Adly berkata, ia termasuk GHU antara RM6,000 hingga RM72,000 mengikut peratus kecederaan individu secara sekali bayar atau one-off kepada semua anggota yang cedera semasa tugas aktif.

“Malah, Elaun Pelajaran Kepada anak penerima PHU juga dinaikkan daripada RM200 hingga RM685 kepada RM1,600 hingga RM5,400 dan Elaun Layanan Sentiasa Dinaikkan daripada RM440 kepada RM1,500 sebulan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini