Tumpuan :
Nasional

Ganja 150kg bernilai lebih RM600,000 dirampas

KANGAR: Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Perlis merampas 150 ketulan mampat disyaki ganja bernilai lebih setengah juta ringgit yang ditemui di dalam sampan gentian kaca di tepi muara Sungai Perlis di Kuala Perlis, di sini, 16 Ogos lalu.

Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim, berkata penemuan dadah itu berlaku ketika pasukan anggota marin kastam dari Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis melakukan rondaan berhampiran sempadan perairan Malaysia-Thailand di Kuala Perlis jam 7.50 pagi.

Beliau berkata, anggota kastam bertugas yang melakukan rondaan menerima maklumat berhubung kemasukan sampan itu dari negara jiran ke perairan negara ini.

Pengarah Kastam Negeri Perlis, Ismail Hashim (tengah) serta pegawai JKDM Negeri Perlis menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas di dalam sebuah sampan di muara Sungai Perlis di Kuala Perlis pada 16 Ogos lalu. NSTP

“Gerak geri mencurigakan lelaki yang mengendalikan sampan berkenaan menyebabkan anggota kita mengekori sampan berkenaan sehingga memasuki muara Sungai Perlis di Kuala Perlis.

“Hampir 30 minit membuat pemerhatian, lelaki itu memecut dan menghentikan sampannya itu berdekatan sebuah jeti nelayan berhampiran Kampung Bahagia, Kuala Perlis sebelum menghilangkan diri,” katanya ketika ditemui di pejabat JKDM Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis, di sini hari ini.

Katanya, pemeriksaan ke atas sampan tanpa nombor pendaftaran itu menemukan 150 ketulan mampat yang disyaki ganja dengan anggaran berat sebanyak 150 kilogram.

“Nilai rampasan ganja itu dianggarkan berjumlah RM649,300 manakala anggaran nilai sampan berkenaan termasuk sebuah enjin sangkut yang disita itu adalah sekitar RM40,000,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Loading...
Terkini