
KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan semua lorong sistem Teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di plaza tol terjejas kembali beroperasi secara berperingkat semalam.
PLUS menerusi kenyataan media hari ini, berkata semua lorong RFID di plaza tol terjejas membabitkan Butterworth-Kulim, Jambatan Pulau Pinang (JPP), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) kembali pulih seperti sedia kala dan beroperasi semula secara berperingkat mulai jam 8.30 hingga 10.45 malam tadi.
“Satu siasatan terperinci dijalankan bagi mengenal pasti punca utama gangguan teknikal terbabit.
“Pelbagai langkah yang sewajarnya diambil untuk mengelakkan kejadian sama berulang pada masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, PLUS turut melahirkan rasa kesal atas kesulitan yang dihadapi oleh pengguna lebuh raya akibat gangguan berkenaan.
Menerusi laman sosial Facebook PLUS semalam, memaklumkan berlaku gangguan perkhidmatan RFID di beberapa plaza tol di Lebuhraya Utara-Selatan.