comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Gangguan seksual: Lelaki kurang buat aduan 

 

KEPALA BATAS: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meminta golongan lelaki tampil membuat laporan sekiranya menjadi mangsa gangguan seksual agar bantuan sama adil dapat dihulurkan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata lelaki didapati banyak mengambil langkah mendiamkan diri kerana tidak mahu memperbesarkan isu, namun tindakan itu sebenarnya tidak meredakan emosi mereka.

Katanya, walaupun mengikut statistik golongan wanita yang banyak membuat aduan menjadi mangsa gangguan seksual tetapi lelaki juga tidak terkecuali dalam hal itu.

“Dalam hal ini (faktor lelaki kurang buat aduan) mungkin ada lelaki rasa dia teruja tetapi sebenarnya mereka terganggu.

“Mereka (lelaki) juga manusia dan atas sebab itu kita turut memberi penekanan terhadap golongan ini (supaya tidak takut lapor jika menjadi mangsa gangguan seksual),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual di Dewan Millenium, di sini hari ini.

Program jelajah ke seluruh negara itu bermatlamat memberikan pendedahan, pengetahuan dan menyebarluaskan garis panduan dan notis antigangguan seksual kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Nancy berkata, isu gangguan seksual harus ditangani dengan serius kerana ia boleh mendorong kepada jenayah seksual yang lebih serius dan kesannya terhadap mangsa adalah sangat negatif termasuk trauma dan ketakutan berpanjangan.

“Kita berharap dengan jelajah yang kita adakan ini dapat memberikan kesedaran dan juga panduan untuk mereka yang menjadi mangsa tidak kira lelaki atau perempuan dapat tampil membuat laporan,” katanya.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kes gangguan seksual kedua-dua jantina dilaporkan meningkat dari 378 kes pada 2020 kepada 506 kes pada 2021.

Loading...
Terkini