comscore
Tumpuan :
Nasional

Gangguan pemandu wanita dipercayai ada masalah mental meresahkan penduduk

Penduduk Saujana Utama, Sungai Buloh mendakwa berhadapan kebimbangan susulan gangguan dicetuskan pemandu wanita yang dipercayai ada masalah mental. – Foto tular

SUNGAI BULOH: Belum reda kisah pemandu wanita yang dikatakan ada masalah mental sehingga melanggar maut tiga pelajar UiTM Dungun minggu lalu, penduduk Saujana Utama di sini juga berhadapan kebimbangan susulan gangguan dicetuskan pemandu wanita yang dipercayai ada masalah mental.

Terbaharu, wanita yang sering dilihat memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna hitam itu dirakam mengganggu penduduk di sebuah stesen minyak di situ.

Semalam, tular di media sosial penduduk Saujana Utama dan Sungai Buloh rakaman wanita yang berniqab dan berjubah hitam dikatakan membuat kacau di sebuah stesen minyak di Saujana Utama.

Wanita itu dilihat mengeluarkan sebatang kayu sebelum dirampas oleh orang ramai.

Dalam hantaran itu ada penduduk yang mengakui wanita itu dipercayai mempunyai masalah mental dan sering berpindah randah dengan keluarganya.

Seorang penduduk, Zai Sapura Ismail, 54 memberitahu BH dia bimbang kejadian yang menimpa pelajar UiTM Dungun minggu lalu berulang lagi.

“Perbuatannya membahayakan keselamatan penduduk setempat dan membahayakan pelajar sekolah di sini.

“Kami risau dengan ganggu gugat yang dia lakukan terutama terhadap pengunjung kedai. Wanita ini sering dilihat membawa sebatang seperti kayu dan mengugut untuk mencederakan penduduk yang menegurnya,” katanya.

Seorang lagi penduduk dan peniaga, Wan Nadziatulshima Wan Othman, 38, berkata, dia juga bimbang dengan keselamatan keluarganya.

“Di sini juga ada ramai pelajar sekolah dan pelajar UiTM, wanita ini sering dilihat sekitar kawasan sebuah sekolah rendah di sini.

“Kami percaya seorang anaknya bersekolah di sini dan dia sering dilihat di kawasan sekolah,” katanya.

BH difahamkan, Polis Daerah Sungai Buloh sedang menjalankan siasatan berkaitan kes itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Kanun Keseksaan.

Polis Daerah Sungai Buloh juga akan mengeluarkan satu kenyataan media berhubung kes itu dalam masa terdekat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini