comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Gangguan LRT : Pakar dari Kanada tiba petang ini

PETALING JAYA: Pakar dan jurutera luar negara Thales Group Kanada menyertai pasukan jurutera Rapid Rail, petang ini bagi mempercepatkan proses baik pulih gangguan sistem kawalan tren automatik (ATC) pada Transit Aliran Ringan (LRT) .

Gangguan itu menjejaskan 16 stesen dari Stesen LRT Kelana Jaya sehingga Stesen LRT Ampang Park.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, Rapid Rail sudah menjalankan ujian pergerakan tren LRT laluan Kelana Jaya di antara Stesen Ampang Park dan Stesen KLCC pada jam 10 malam semalam.

Menurutnya, ujian itu penting bagi pihak kejuruteraan Rapid Rail bersama pihak pengilang peralatan asal (OEM) LRT dari Toronto, Kanada untuk menganalisa log yang dijana ketika ujian dijalankan bagi mengenal pasti kebarangkalian punca bagi analisa selanjutnya.

“Pakar dari luar negara iaitu Thales Group Kanada akan menyertai pasukan jurutera Rapid Rail pada petang ini bagi menganalisa log yang dijana seterusnya mengenal pasti komponen yang disyaki memberi masalah kepada sistem ATC.

“Kami berharap dengan bantuan daripada pakar dan jurutera Thales ini dapat mempercepatkan proses baik pulih sistem ATC,” katanya dalam sidang media, di Kompleks Rapid Rail Subang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sudah membuat analisa dan penambahbaikan dengan menukar modem punca kuasa tren dan daripada itu percubaan ke atas 10 tren sudah dibuat.

“Pada awalnya ada satu tren yang terpaksa dikawal secara manual tetapi selepas itu semua tren sudah berjalan lancar.

“Jadi, ia memberikan tanda positif untuk kembali beroperasi semula. Bagaimanapun, kami tetap menanti ketibaan pakar dari luar negara untuk bersama membantu dalam menangani isu ini.

“Kami harap dapat dapat buat lebih banyak ujian sebelum LRT laluan Kelana Jaya ini dapat digunakan kembali seperti yang sudah ditetapkan,” katanya.
Rapid KL semalam memaklumkan penggantungan operasi bermula hari ini membabitkan 16 stesen LRT dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park.

Dalam kenyataan malam tadi, Rapid KL memaklumkan gangguan berkenaan berkaitan dengan komponen elektronik sistem kawalan tren automatik atau ATC yang menyebabkan kehilangan signal di antara pusat kawalan dan juga tren.

Berikutan itu, kira-kira 200,000 pengguna yang terjejas terpaksa beralih kepada mod pengangkutan lain untuk urusan harian menyebabkan aliran lalu lintas di ibu kota sesak pada waktu puncak. – BULETIN TV3

Loading...
Terkini