SHAH ALAM: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melaksanakan pemeriksaan di premis penternakan ayam yang didakwa menjadi punca ribuan lalat mengganggu kehidupan harian penduduk Kampung Ladang Batu, Tanjung Sepat di Kuala Langat dekat sini, semalam.
Menurut LUAS, pemeriksaan tapak mendapati aktiviti penternakan ayam yang mengakibatkan ketidakselesaan dan permasalahan kacau ganggu di kawasan sekitar, yang mana aspek utama kacau ganggu adalah berkaitan kacau ganggu lalat.
Bagaimanapun, pemeriksaan yang dilaksanakan oleh LUAS adalah menumpukan berkaitan pengurusan sumber air berdasarkan Enakmen Luas 1999.
“Berdasarkan pemeriksaan LUAS, semalam, mendapati tiada pelepasan efluen daripada ladang penternakan ayam mengalir keluar ke sumber air berhampiran.
“Keadaan saliran di dalam ladang dan titik pelepasan akhir adalah berkeadaan baik dan tiada aliran air.
“Aktiviti penternakan ayam adalah aktiviti penternakan unggas yang tertakluk kepada pematuhan Enakmen LUAS 1999 mengikut Seksyen 79 iaitu Peraturan-Peraturan Pelesenan Pembuangan Air Kembalian dan Kemasukan Atau Pelepasan Bahan Buangan dan Bahan Pencemar Negeri Selangor 2024.
“Seksyen ini diwartakan pada 20 Jun 2024 bagi kawalan terhadap kualiti dan kuantiti beban pelepasan daripada 13 aktiviti yang tertakluk ke sumber air,” katanya kepada NSTP.
Lanjutan dari pemeriksaan ini, LUAS mengeluarkan notis keperluan pelesenan kepada wakil premis bagi Lesen Pembuangan Air Kembalian dan Lesen Kemasukan Atau Pelepasan Bahan Buangan Dan Bahan Pencemar.
Sebelum ini, media melaporkan kehidupan 104 keluarga di kampung itu terganggu dengan serangan ribuan lalat, sejak tiga tahun lalu.
Bukan hanya di meja makan dan tandas, kehidupan seharian penduduk ribuan lalat ketika melakukan aktiviti harian termasuk tidur, rehat atau solat sehingga memasuki rongga hidung dan telinga.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.