comscore
Tumpuan :
Nasional

Gangguan ketukan turut berlaku di dalam rumah – penduduk

Peniaga, Muhammad Syakir Mohd Yusop menunjukkan pintu rumahnya di Taman Pauh Indah, Arau yang didakwa diketuk secara misteri pada awal pagi Ahad lalu meskipun pagar laman rumahnya sudah pun dikunci. – Foto NSTP

ARAU: Penduduk Taman Pauh Indah, Pauh kawasan terbaharu serangan gangguan ketukan misteri mendakwa kejadian itu turut berlaku di dalam rumah mereka.

Ia dialami pasangan suami isteri, Muhammad Syakir Mohd Yusof, 29 dan Siti Masmerang Arifin, 47.

Menurut mereka, kejadian berlaku dua kali pada Ahad dan semalam.

Tambah Muhammad Syakir, ia adalah kejadian pertama berlaku di rumah yang sudah setahun diduduki oleh mereka.

“Kejadian pertama berlaku pada awal pagi Ahad lalu. Saya ketika itu belum boleh lagi melelapkan mata dan sedang melayari internet di telefon bimbit saya.”

“Seingat saya ketika itu suasana di sekitar rumah sunyi. Sekitar jam 2.30 pagi, tiba-tiba terdengar ketukan di pintu hadapan rumah sebanyak tiga kali.”

Peniaga, Muhammad Syakir Mohd Yusop menunjukkan pintu bilik anaknya di Taman Pauh Indah, Arau yang didakwa diketuk secara misteri pada awal pagi Isnin lalu. – Foto NSTP

“Rentak ketukan itu bagaimanapun tidaklah sekuat mana sehingga menggegar pintu rumah tetapi gaya ketukan itu agak pantas seperti gaya mendesak untuk segera membuka pintu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Pauh Indah, Arau, di sini hari ini.

Katanya, selepas ketukan itu berlaku, dia mengejutkan isterinya dan segera memeriksa sekiranya ada orang datang ke rumahnya itu.

“Apabila saya membuka pintu, tiada sesiapa pun berada di luar rumah malah ketika itu, pagar rumah saya berkunci jadi masakan ada orang boleh masuk ke laman rumah saya melainkan dia melompat pagar yang berkunci.”

“Malah, selepas saya membuka pintu rumah juga terdengar salakan anjing jiran bersahutan dan saya segera menutup semula pintu,” katanya.

Dia mendakwa gangguan itu tidak terhenti di situ apabila pada keesokkan harinya, mereka sekali lagi diganggu oleh ketukan misteri berkenaan.

“Kali ini ketukan itu sudah memasuki ke dalam rumah di mana sekitar jam 2.20 pagi, saya terdengar ketukan yang sama seperti di pintu rumah semalam. Kali ini, di hadapan pintu bilik anak saya.”

“Rentaknya juga sama dan seolah cuba untuk memasuki bilik anak saya dan saya segera memeriksa sama ada bunyi itu sengaja dilakukan oleh anak saya namun apabila pintu bilik dibuka, anak saya sedang nyenyak tidur,” katanya.

Muhammad Syakir kemudian mengejutkan isterinya dan menceritakan apa yang berlaku.

“Hampir sejam kami berdua tidak dapat tidur kerana memikirkan keadaan yang berlaku.”

“Pada mulanya kami ingat, hanya kami yang terkena gangguan ini tetapi bila melihat kejadian ini turut berlaku di tempat lain di Perlis maka benarlah gangguan itu adalah benar.”

“Malah, kami tidak mahu menceritakan perkara ini kepada umum pada mulanya kerana tidak mahu dianggap cuba mereka cerita walhal inilah yang benar terjadi pada kami,” katanya.

Sebelum ini, gangguan ketukan misteri itu didakwa berlaku di Perlis sejak Jumaat lalu di beberapa kawasan di Batu Bertangkup, Chuping sebelum ia ‘merebak’ ke kawasan lain seperti di Pauh.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini