comscore
Tumpuan :
Nasional

Gangguan ketukan, penduduk nampak lembaga hitam

KUALA PILAH: Gangguan ketukan misteri di Kampung Kepis dekat sini semakin menjadi-jadi.

Terbaharu pada malam semalam, penduduk mendakwa ternampak makhluk hitam menyerupai manusia.

Haslinda Hassim, 54, berkata dia ternampak makhluk berkenaan ketika berada di luar bahagian dapur kira-kira jam 9.40 malam, sebelum lembaga hitam itu menghilangkan diri dalam gelap.

Haslinda Hassim menceritakan pengalaman melihat kelibat lembaga hitam yang membongkok di depan rumahnya di Kampung Kepis Hilir dan selepas diganggu dengan ketukan pintu misteri.- Foto: NSTP

“Sebelum itu, anak sulung berusia 17 tahun keluar manakala saya hanya bersama seorang lagi anak berada di rumah. Tidak lama kemudian anak sulung menghubungi saya memaklumkan supaya menutup semua pintu dan tingkap kerana ada sebuah rumah yang sudah diganggu.”

“Kemudian anak balik bersama kawannya dan menyuruh saya buka pintu dapur. Tiba-tiba kami terdengar bunyi seperti objek jatuh di bahagian hadapan rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya Kampung Kepis Hilir, di sini, hari ini.

Tambahnya, disebabkan rumahnya jenis kampung yang tinggi, dia melihat dengan jelas ke arah objek jatuh berkenaan dan ternampak lembaga dalam posisi seperti merangkak.

“Pada mulanya saya menyangka ia hanya ilusi atau trauma yang dialami sebelum menoleh sekali lagi. Kali kedua melihatnya, lembaga itu juga menoleh ke arah saya sebelum bangun dan lari ke arah jalan besar dan hilang dalam kegelapan,” katanya.

Menurutnya, sehingga awal pagi tadi, sudah empat kali rumahnya diganggu dengan kejadian terakhir kira-kira jam 2.30 pagi tadi.

Ketika itu dia terdengar ada makhluk sedang mencakar dinding serta bunyi seperti cuba mengumpil tingkap kaca.

Seorang lagi penduduk, Mariam Johit, 67, berkata anaknya sempat bertentang mata dengan lembaga berkenaan selepas terdengar pagar rumah seperti digoncang.

“Ini kali kelima rumah kami diganggu. Malam tadi ketika saya bersama dua anak dan cucu berada di rumah kira-kira jam 9 malam, kami terdengar pintu pagar di hadapan rumah digoncang.”

“Anak (Noreennor Mohd Noor, 38) menyelak langsir dan ternampak ‘dia’ berdiri di luar rumah. Anak jerit ‘orang mak’ sebelum dia bergegas membuka pintu dan keluar, namun mahkluk itu lari ke arah tepi rumah.”

“Anak kemudian dengar bunyi tapak kaki berlari sebelum ia hilang begitu sahaja. Malah ahli keluarga berdekatan dan penduduk kampung yang mengepung rumah kami tidak menemui sebarang jejak,” katanya.

Marina Mohd Noor, 47, anak kepada Mariam berkata ada pihak yang mempermainkan cerita mengenai gangguan itu sedangkan mereka sekeluarga tertekan dan tidak dapat tidur malam.

“Kami tidak cukup tidur kerana takut. Noreennor terpaksa mengambil cuti,. Anaknya pula dimasukkan air di hospital kerana kejadian ini. Malah anak-anak kami tidak bersekolah kerana takut dan penat.”

“Perkara ini tidak kena pada batang hidung sendiri, mereka boleh mempersendakan cerita ini. Kami bukan mencari publisiti dengan mereka cerita seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Kepis Hilir, Mohmmad Sah Sulaiman, 44, dia mahu gangguan di sekitar Kepis itu segera ditamatkan.

“Sudah lebih seminggu ia berlarutan dan keadaan di kampung ini huru-hara. Penduduk ketakutan sehingga pergi ke tandas dalam rumah sendiri pun perlu berteman.”

Selain bacaan yasin dan solat hajat, petang ini kami akan memanggil pengamal perubatan Islam bagi melihat situasi di sini,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini