comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Gangguan IT global: Sistem perkhidmatan awam turut terkesan

 

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Sistem perkhidmatan awam turut dilaporkan terkesan, selain sektor swasta dengan gangguan teknologi maklumat (IT) global sejak Jumaat lalu.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo yang mengesahkan perkara itu bagaimanapun berkata, hampir semua sistem berjaya dipulihkan, dengan memberi jaminan, pemantauan rapi diteruskan.

Dalam temubual eksklusif dengan Buletin TV3 di ibu negara, siang tadi, beliau menjelaskan gangguan melibatkan beberapa agensi kerajaan.

“Kementerian Digital telah memantau sejak berlaku sehingga sekarang. Memang terdapat beberapa agensi terkesan bila mana perkhidmatan yang mereka itu terganggu.

“Setakat sekarang segala perkhidmatan tersebut hampir semua telah kita pulihkan dan kami memantau bagi mengelak masalah ini berulang lagi.” katanya kepada Buletin TV3.

Susulan itu ujarnya, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan CyberSecurity Malaysia (CSM) diminta mengemukakan laporan terperinci selewatnya minggu depan.

Ia berhubung punca kejadian dan kesan kepada pengguna, selain langkah yang perlu diambil sebagai persedian menghadapi situasi seumpama itu di masa hadapan.

“Kemudian apakah langkah-langkah yang harus kita ambil supaya tidak berulang dan bagaimana kita boleh mengeluarkan garis panduan kepada pengguna digital sekiranya ia terjadi.

“Selain bagaimana kita nak membendung masalah ini daripada sampai pada tahap dimana perkhidmatan kita terganggu.” ujarnya.

Gobind turut menegaskan, masalah IT global yang berlaku hanya melibatkan gangguan perisian dan bukan serangan siber.

Satu sidang media oleh Menteri Digital itu akan diadakan seawal minggu depan berhubung perkara berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini