comscore
Tumpuan :
Nasional

Gangguan gajah liar, 800 penduduk Orang Asli terputus sumber makanan

Kesan kemusnahan gajah liar di Kampung Dandut, Pos Simpor, Gua Musang. – FOTO: Ihsan penduduk

GUA MUSANG: Lebih 800 penduduk terputus sumber makanan selepas gangguan gajah liar yang merosakkan kebun penduduk Orang Asli di Kampung Jader, Pos Simpor sejak setahun lalu.

Penduduk mendakwa serangan gajah itu membabitkan beberapa kampung antaranya, Kampung Dandut, Kampung Jader, Kampung Halak serta Kampung Jader lama.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Simpor, Dendi Johari, 36, berkata susulan serangan gajah yang berulang itu, penduduk sering putus asa untuk terus bercucuk tanam.

“Belum pun sempat kami menuai hasil padi bukit yang ditanam, semuanya habis dirosakkan gajah liar. Perasaan kami sangat kecewa dan rasa apa yang kami lakukan adalah sia-sia.

“Dalam kejadian terbaharu pada Sabtu lalu, habis tanaman penduduk seperti padi bukit, pisang dan ubi kayu dirosakkan gajah liar di Kampung Dandut.

“Laporan sudah dibuat kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan saya harap ada tindakan dari pihak mereka untuk membantu masalah kami ini,” katanya ketika ditemui di Pos Simpor, di sini.

Bagi Setiausaha JPKKOA Pos Simpor, Winson Bah Kuasan, gangguan haiwan liar itu menyebabkan lebih 800 penduduk di pos terbabit terputus sumber makanan.

Katanya, mereka penduduk Orang Asli di pedalaman hanya bergantung hidup dengan tanaman sebagai sumber makanan.

Ini kerana, katanya untuk membeli beras di kampung terdekat di Kuala Betis, perlu menempuh perjalanan sehingga enam atau tujuh jam ketika hujan dan dua jam jika cuaca baik.

“Kami di sini tiada pilihan, walaupun masalah ini berulang, kami tetap perlu bercucuk tanam untuk sumber makanan. Tapi bila semua dirosakkan apa yang kami nak makan.

“Jadi bila ada bantuan makanan daripada mana-mana pihak kami sangat berbesar hati menerimanya dan berterima kasih atas usaha pihak kerajaan ini.

“Apa yang saya harap ada tindakan segera daripada agensi terbabit untuk menangani masalah ini bagi menjamin keselamatan kami di sini yang tinggal jauh di pedalaman,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini