comscore
Tumpuan :
Nasional

Gangguan elektrik, teknikal sebabkan Sidang DUN Johor tergendala 20 minit

Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi. – Foto MEDKOM

ISKANDAR PUTERI: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pagi ini, tergendala lebih 20 minit berikutan gangguan elektrik dan teknikal di dewan utama.

Insiden itu berlaku sebaik sahaja Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi selesai menjawab soalan pertama berkaitan isu Forest City diberi kelulusan kasino, sebelum berlaku gangguan elektrik dan teknikal.

Ia menyebabkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berang dan menegur pengurusan dewan supaya insiden berkenan tidak harus berulang lagi.

“Insiden ini cukup memalukan hingga sidang dewan yang sedang bersidang terpaksa ditangguhkan.

“Saya harap pengurusan dewan sentiasa peka. Saya tidak mahu dengar sebarang alasan. Kita mesti ada mentaliti dan fasiliti kelas pertama.

“Saya mohon maaf kepada semua Yang Berhormat kerana terpaksa tangguhkan dewan sementara tadi,” katanya ketika dewan bersambung semula.

Onn Hafiz yang diminta menyambung sesi soalan lisannya turut bergurau menyatakan seolah-olah ada unsur sabotaj kerana berlaku gangguan elektrik dan teknikal, sejurus beliau selesai menjawab isu panas berkaitan kasino di Forest City.

Ia menyebabkan Mohd Puad meminta pengurusan dewan serta-merta mempertingkatkan kawalan keselamatan di premis Bangunan Sultan Ismail yang menempatkan DUN Johor

“Saya harap soal keselamatan dewan dipertingkatkan. Saya juga bimbang ada cubaan menceroboh dan sabotaj,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini