comscore
Tumpuan :
Nasional

Gangguan bekalan air pulih sepenuhnya Jumaat ini

Foto hiasan

SHAH ALAM: Gangguan bekalan air di tujuh wilayah di Kuala Lumpur dan Selangor dijangka pulih Jumaat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur Selangor, Izham Hashim berkata gangguan bekalan air akibat pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah susulan kebocoran tangki sebuah kilang plastik di Kuang yang menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas dijangka pulih sepenuhnya Jumaat ini.

Katanya, ini berikutan keempat-empat LRA berkenaan iaitu Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (SSP1, SSP2 serta SSP3) sudah kembali beroperasi sepenuhnya bermula jam 3 petang tadi.

Menurutnya, LRA Rantau Panjang dan LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (SPP1, SSP2 dan SPP3) beroperasi selepas bacaan 0 ton dicatatkan tiga kali berturut-turut.

“Pengagihan air membabitkan LRA Rantau Panjang mula dilaksanakan bermula jam 6 petang tadi manakala tiga SSP berkenaan pula pada jam 8 pagi esok.

“Kawasan kediaman yang mempunyai tekanan air rendah mungkin mengambil sedikit masa namun sebahagian besar pengguna akan mendapat bekalan air dalam tempoh 24 jam.

“Seperti biasa, proses pengagihan itu akan dijalankan secara berperingkat mengikut kawasan dan dijangka selesai sepenuhnya pada Jumaat ini,” katanya dalam sidang media khas di Bilik Gerakan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di sini, malam ini.

Mengulas lanjut katanya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap kilang pemprosesan plastik dan pepejal yang dikenal pasti menyebabkan pencemaran bau sehingga mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual.

“Ia berikutan kebocoran tangki yang berlaku di premis itu menyebabkan bahan pencemar berjadual Poly Methacrylic Acid (PMAA) mengalir ke tiga sungai.

“Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor juga sudah mengambil tindakan termasuk mengeluarkan kompaun kepada pemilik kilang berkenaan.

Pada masa sama katanya, JAS dan LUAS akan meneruskan pemantauan di lokasi terbabit esok bagi memastikan pencemaran tidak berulang.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin mengesahkan kejadian pencemaran bau seakan asid di udara dan aliran berbuih di Sungai Kuang dikesan di Jalan Kampung Orang Asli, Kuang sekitar jam 3.30 petang semalam.

Pencemaran bahan terjadual, PMAA akibat kebocoran tangki sebuah kilang plastik di Kuang dikenalpasti menjadi punca empat Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa dihenti tugas.

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dalam kenyataan berkata akibat insiden itu,lebih 1,000 kawasan membabitkan daerah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor terjejas akibat henti tugas sementara empat LRA susulan insiden itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini