KUALA LUMPUR: Gangguan bekalan air tidak berjadual dilaporkan berlaku di sebahagian kawasan wilayah Kuala Lumpur bermula jam 6 pagi tadi dan dijangka pulih sepenuhnya jam 1 tengah hari esok.
Air Selangor dalam satu kenyataan berkata, keadaan itu disebabkan kerja kecemasan pembaikan paip pecah di Hab Pasar Seni, di sini.
Katanya, kerja pembaikan dijangka selesai jam 1 pagi esok, manakala bekalan air akan mula disalurkan kepada pengguna secara berperingkat apabila sistem agihan utama bekalan air distabilkan.
“Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 1 tengah hari esok.
“Tempoh pemulihan bekalan air di kawasan terjejas adalah berbeza, bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air,” katanya dalam kenyataan di platform X, hari ini.
Kawasan yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ialah Apartmen Putra Ria, Brickfields, Bukit Bandaraya, Bukit Bangsar, Bukit Damansara, Bukit Persekutuan, Bukit Tunku, Damansara Heights, Damansara Down Centre.
Selain itu, Idamansara, Jalan Sultan Hishamuddin, Kampung Attap, Kampung Padang Merbuk (Jalan Sultan Ismail), Kuala Lumpur City Centre, Kuala Lumpur Central, Medan Damansara.
Kawasan lain ialah di Parlimen, Persiaran Sultan Salahudin, Semantan, Taman Bandaraya, Taman Bangsar Baru, Taman Damansara Endah, Taman Duta, Taman Lucky, Taman SA (Bangsar), Taman SA (Damansara), Taman Tasik Perdana, Taman Tunku dan Tijani.
“Air Selangor akan menggerakkan lori tangki air dengan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian di sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
“Pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual ini dari masa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://airselangor.com,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.