
ALOR SETAR: Lebih 65,000 akaun pengguna di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu mengalami gangguan bekalan air selepas Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Pinang Fasa 1, 2, dan 3 dihentikan operasi, akibat litar pintas dan kerosakan pada sistem dalaman elektrikal pam air mentah.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Syarikat Air Darul Aman (SADA) memaklumkan gangguan bekalan bermula jam 4.30 petang tadi dan dijangka berterusan sehingga kerja pembaikan dan pengagihan semula bekalan air selesai.
Menurut SADA, antara kawasan yang terjejas di Kota Setar termasuk Hospital Sultanah Bahiyah, sepanjang Jalan Hutan Kampung, sepanjang Jalan Sultanah, keseluruhan pekan Alor Setar, Pumpong dan perumahan di Jalan Langgar.
Sementara itu, beberapa kawasan di Kubang Pasu turut mengalami gangguan bekalan air, antaranya Kampung Bukit Hijau, Kampung Empa, Taman Tabung Haji, sepanjang Jalan Kepala Batas ke Bandar Darul Aman serta Kuarters Tentera Darat Jenan.
SADA memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi pengguna dan memberi jaminan pasukan teknikal sedang berusaha membaik pulih kerosakan secepat mungkin.
“Segala kesulitan amat dikesali,” kata kenyataan itu.
Pengguna dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh gangguan itu.
Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.