Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
KUALA LUMPUR: Memegang peranan selaku Jurucakap Kerajaan Perpaduan menuntut ketelitian, kemahiran berfikir secara kritis serta kebolehan berkomunikasi dengan baik terutama dalam menyampaikan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada sidang media.
Ia diakui Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang turut mengakui bahawa tangungjawab itu bukan satu tugas yang mudah.
“Dokumen, minit mesyuarat, dan perbincangan Jemaah Menteri adalah rahsia kerajaan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972. Apa yang saya sampaikan perlu mendapat kelulusan Jemaah Menteri.
“Saya juga tidak boleh mendedahkan siapa berkata apa atau perincian perbincangan,” katanya dalam Podcast Edisi Khas Buletin TV3, yang disiarkan di Facebook dan YouTube Buletin TV3, baru-baru ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa keperluan untuk berhati-hati amat penting kerana setiap arahan adalah spesifik dan mesti dipatuhi.
Fahmi, yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dari Purdue University, Amerika Syarikat, berkata, pengalaman akademik dan penglibatannya dalam seni teater turut membantu dalam melaksanakan tugas sebagai jurucakap.
“Latar belakang kejuruteraan membantu saya berfikir secara analitik, manakala pengalaman dalam teater memberikan saya kemahiran untuk menyampaikan maklumat dengan jelas supaya tidak disalah tafsir,” katanya.
Fahmi bertanggungjawab menjadi suara rasmi kerajaan ketika berdepan media, terutamanya selepas mesyuarat Kabinet setiap hari Rabu.
Pada masa yang sama, beliau juga menjadi sumber rujukan pihak media bagi mendapatkan pengesahan tentang isu-isu semasa.
Ikuti sesi temubual penuh bersama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam Podcast Edisi Khas Buletin TV3 di platform Facebook dan Youtube Buletin TV3.
Podcast Edisi Khas Buletin TV3 yang dikendalikan hos Halim Mohamed dan Mas Zharif Zhafri Aziz Desa, menyentuh rangkuman isu nasional 2024 membabitkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, jenayah dalam talian, Akta 588 dan Lesen Pengendali Media Sosial.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.