comscore
Tumpuan :
Nasional

Galak pelaburan: NCCIM terima RM1 Juta dari kerajaan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. FOTO: Anwar Ibrahim

Oleh: Fahiz Ariff

PETALING JAYA: Kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta diberikan kepada Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya berkata, suntikan tersebut diberikan memandangkan NCCIM sentiasa memberikan sokongan terhadap usaha kerajaan dalam menggalak pelaburan domestik dan antarabangsa.

“Oleh kerana sumbangan yang sudah diberikan itu sangat baik

“Saya perlu mengiktiraf sumbangan besar anda (NCCIM) terhadap usaha kerajaan dalam menggalakkan pelaburan dari luar negara, selain menyalurkan dana untuk tujuan tersebut.

“Pihak kerajaan mengucapkan terima kasih serta meluluskan RM1 juta,” jelasnya ketika berucap di Majlis Gala Tahunan NCCIM ke-62, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau mahu sektor swasta berganding bahu bersama kerajaan perpaduan dalam membantu mempercepatkan proses pemulihan ekonomi dan pelaburan negara.

Ujar beliau, walaupun Malaysia, sebelum ini kehilangan ‘masa’ semasa Covid-19, namun negara mempunyai keupayaan dan sumber yang banyak.

Sekaligus, membolehkan ekonomi negara berada pada landasan sebenar.

“Saya benar-benar meminta sokongan berterusan dari pihak swasta dan kerjasama sebagai satu pasukan untuk menjadikan Malaysia negara berjaya di dunia.

“Saya juga fikir beberapa siri perbincangan dan dialog antara kementerian dan sektor swasta pasti membantu dalam memastikan perkara ini berjaya,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri menggesa semua pihak agar tidak leka dengan kestabilan politik yang wujud pada ketika ini.

Menurut beliau, kestabilan itu perlu digunakan untuk perubahan antaranya reformasi institusi termasuk melaksanakan dasar tidak popular.

“Dasar yang tidak popular itu merangkumi tarif elektrik (penyelarasan) dan rasionalisasi, namun ia tetap perlu dilaksanakan.

“Rasionalisasi tersebut baik untuk ekonomi walaupun sukar dari sudut politik.

“Tetapi untuk menyelamatkan negara daripada ketirisan yang menyebabkan kehilangan berbilion ringgit, kita perlu lakukannya,”jelasnya.

Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Presiden NCCIM, Tan Sri Datuk Soh Thian Lai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini