KOTA KINABALU: Kadar gaji dan upah penjawat awam akan dibincang semula setelah ‘kantung’ kewangan negara bertambah baik selain defisit kewangan negara dapat dikurangkan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, secara peribadi, beliau tidak berpuas hati apabila melihat kadar gaji dan upah penjawat awam berbanding tugas serta komitmen yang diberikan, namun ia perlu dinilai berdasarkan kemampuan kewangan negara ketika ini.
“Kalau kantung bertambah baik, defisit dikurangkan, kita boleh (naikkan gaji serta upah). Sekarang bila saya tengok penjawat awam buat kerja baik, antaranya di negeri, kemudian hasil bertambah, proses itu (kantung negara bertambah baik) boleh dipercepat.
“Cuma untuk hari ini, saya fikir sukarlah. Itu nanti kita bincang dahulu,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat kepada penjawat awam negeri dan Persekutuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.