Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
IPOH: Kerajaan akan melaksanakan bayaran gaji penjawat awam beserta Bayaran Bantuan Khas Aidilfitri (BKKA) lebih awal selewat-lewatnya Jumaat ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keputusan itu dibuat bagi membolehkan masyarakat melakukan persiapan menyambut Aidilfitri lebih awal.
“Bayaran BKKA akan diawalkan, saya dapat banyak rayuan daripada penjawat awam dan masyarakat mengatakan bahawa 17 keatas itu terlalu suntuk untuk persiapan aidilfitri.
“Jadi kita awalkan dan mulai 10 selewat lewatnya 14 April selesai semua pembayaran.
“Bayaran BKKA kepada penjawat awam gred 56 kebawah yang dijadualkan 17 haribulan, atas permintaan awam kita awalkan selewat lewatnya pada 14 hari bulan,” katanya.
Anwar juga berkata bayaran pencen untuk pesara turut diawalkan pada tarikh yang sama.
Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri akan memanfaatkan hampir satu juta penerima dalam kalangan pesawah, pekebun kecil getah, nelayan dan sukarelawan beruniform termasuk Jabatan Sukarelawan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Sukarelawan Bomba dan Sukarelawan Polis.