comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Gaji penjawat awam naik lebih 13 peratus – PM


PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan bahawa penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus.

Kenaikan itu merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara dan akan dilakukan mulai 1 Disember depan.

Perdana Menteri memaklumkan sebelum ini jumlah paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam adalah pada kadar 13 peratus, namun Kerajaan Madani akan memastikan kadar kenaikan kali ini lebih tinggi daripada itu.

“Sejarah kenaikan paling tinggi sebelum ini adalah 13 peratus dan tahun ini, saya akan mengumumkan kenaikan lebih tinggi daripada 13 peratus,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 bertema ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Beliau berkata kenaikan gaji itu akan membabitkan peruntukan mencecah lebih RM10 bilion berikutan jumlahnya yang besar dan agak lumayan.

“Ini adalah kenaikan paling baik dalam negara. Kita juga akan meneliti dari segi kewangan dan bagaimana ia boleh menampung tetapi pada masa sama hutang negara tidak lebih (daripada sepatutnya),” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA)  yang sedang diperincikan, kerajaan juga akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan.

“Pada masa ini jumlah pendapatan minimum, meliputi gaji dan elaun tetap penjawat awam sedia ada adalah RM1,795 sebulan,” kata Perdana Menteri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini