Oleh Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
KUALA LUMPUR: 1.6 juta penjawat awam menunggu dengan penuh debaran untuk perkhabaran gembira Jumaat ini, sempena perhimpunan Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam MAPPA Ke-19 yang bakal memperincikan kadar kenaikan gaji mereka.
Antara yang teruja, kakitangan pelaksana yang menganggap pelarasan gaji berkenaan begitu penting bagi menangani realiti kehidupan semasa.
Tengku Shaiful Fazuan Tengku Sharipadin yang bertugas di agensi penguat kuasa Kementerian Pengangkutan antara lebih 692,000 penjawat awam dalam kalangan kumpulan pelaksana.
Cabaran semasa ekonomi terutamanya dalam menguruskan keluarga yang dipikul bersama isteri, Rosalina Mohd Ayob telah menghadkan perbelanjaan bulanan mereka.
“Bagi saya untuk penjawat awam, mungkin semua ada komitmen masing-masing. Mungkin sIkit, mungkin banyak. Mungkin benda ni dah lama jadi dengan kenaikan gaji ini mungkin boleh kurangkan beban penjawat awam.” kata Tengku Shaiful Fazuan kepada Buletin TV3.
Antara komitmen yang perlu ditanggung mereka setiap bulan adalah ansuran bulanan rumah, kenderaan dan kos perbelanjaan bagi tiga cahaya mata yang masih kecil.
Rosalina yang juga bertugas sebagai kerani pentadbiran di agensi sama turut mengakui terpaksa bekerja bagi membantu suaminya bagi menyara keluarga.
“Hutang pun masing-masing sendiri kan. Saya ada gaji tapi saya bayar hutang saya sendiri. Dia pun bayar hutang dia sendiri, mustahil kalau tiada hutang.” ujar Rosalina.
Sementara itu bagi penjawat awam badan beruniform, Raden Abdan Syafiq Raden Jimi ’Ezman, kenaikan gaji itu akan membantunya untuk membina kehidupan keluarga yang lebih stabil.
Dia baharu mendirikan rumah tangga dan isterinya adalah suri rumah sepenuh masa.
“Saya baru sahaja bekerja dalam sektor penjawat awam dapat membantu sedikit sebanyak. Kalau ada duit lebih ke saya boleh menabung, nak buat cari rumah baru dan perbelanjaan keluarga.” kata Raden Abdan Syafiq.
Hampir 700 ribu penjawat awam dalam kalangan kumpulan pelaksana ini adalah antara kira-kira 1.6 juta penjawat awam seluruh negara yang akan mendapat manfaat daripada pelarasan gaji yang akan diumumkan nanti.
1 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan skim gaji penjawat awam akan naik lebih 13 peratus bermula 1 Disember tahun ini, iaitu kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara.
Kali terakhir kadar baharu kenaikan gaji penjawat awam diumumkan adalah sekitar 13 peratus pada 2013.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.